COVID-19 menuntut semua pihak mengadaptasi gaya hidup sederhana serta mengubah corak perbelanjaan supaya terus kekal mampan dan berdaya tahan. Fokus utama supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.
Tidak dinafikan, setiap individu mempunyai keinginan berbelanja lebih. Namun, perlukah kita menambah hutang?
Kita diberi pilihan, jadi pilih yang menjimatkan. Perlu diingat, pengurusan kewangan berhemat perlu berdasarkan kemampuan kendiri.
Beberapa kesilapan sering dihadapi dalam pengurusan kewangan, antaranya tidak merancang perbelanjaan dengan baik. Gagal merancang, bermakna kita merancang untuk gagal.
Berbelanja melebihi pendapatan juga menjadi faktor. Tanpa matlamat kewangan jelas, kesilapan berlaku apabila tidak mengehadkan pendapatan untuk tujuan simpanan.
Cetek ilmu mengenai pelaburan dibenarkan juga mengundang risiko sehingga ramai terjerumus skim cepat kaya.
Ada juga tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan. Perlu difahami dan dibezakan apakah dimaksudkan sesuatu yang diingini dan perkara diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
Disiplin diri penting bagi memastikan harmonisasi perbelanjaan dan pendapatan dapat dikekalkan. Kaedah muhasabah kewangan membantu dalam mengelak pembelian panik, akhirnya mengundang ketirisan sumber peruntukan kewangan.
Muhasabah kewangan dapat diaplikasikan melalui konsep ISLAH, iaitu pendapatan dibahagikan kepada lima bahagian.
ISLAH meliputi I - infak zakat, sedekah, hadiah kepada ibu bapa (10 peratus); S - simpanan untuk kecemasan (10 peratus); L - labur untuk jangka panjang (10 peratus); A - asas perbelanjaan seperti bayaran rumah dan kereta (30 peratus) dan H - harian meliputi keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan bil utiliti (40 peratus)
Sebagai contoh, pendapatan diterima adalah RM2,000 sebulan. Terus agihkan pendapatan kepada lima bahagian. RM200 masing-masing adalah untuk infaq, simpanan dan labur, RM600 untuk keperluan asas dan RM800 untuk keperluan harian.
Bagi umat Islam, sebahagian RM200 pertama boleh digunakan untuk membayar zakat. Zakat perlu diberikan (RM2,000 x 2.5 peratus) adalah RM50. Wang lebih, iaitu RM150 boleh digunakan untuk bersedekah dan hadiah kepada ibu bapa.
Keberkatan diperoleh apabila pendapatan digunakan untuk diinfakkan. Rezeki sedikit, sekiranya berkat akan sentiasa cukup. Rezeki kurang berkat, walaupun banyak, pasti tidak mencukupi.
Untuk RM200 seterusnya, ia diagihkan sebagai simpanan. Duit simpanan boleh digunakan sekiranya terdapat kecemasan. Adalah bijak jika perlindungan insurans atau takaful diambil bagi meringankan beban serta mengurangkan risiko.
Ini boleh digambarkan ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Dana ini juga boleh digunakan untuk pendidikan masa depan anak.
RM200 berikutnya digunakan untuk pelaburan, sama ada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tabung Haji, unit amanah atau pasaran saham. Susun strategi pelaburan dengan bijak dan sistematik. Elak terjerumus dalam skim cepat kaya.
Keperluan asas perlu dihadkan RM600 sebulan. Ini mencakupi bayaran untuk rumah dan kenderaan. Keperluan asas ini perlu bagi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan pada tahap minimum.
Baki RM800 lagi diperuntukkan bagi keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan utiliti. Peruntukkan juga sebahagian untuk diri. Selepas penat bekerja, sudah tentu anda ingin memperuntukkan sedikit untuk rekreasi.
Gunakan kewangan daripada bahagian ini untuk menikmati percutian bersama keluarga atau rakan. Perlu diingat, pengurusan kewangan yang baik akan membantu anda lebih tenang dan yakin.
Ia menjadi kunci mengelak masalah kewangan lebih serius pada masa akan datang. Jika pendapatan tidak diurus sempurna, kelak kita menjadi kecewa.
Perkataan ISLAH itu sendiri membawa maksud perubahan terancang ke arah lebih baik. Diharapkan dengan pendekatan ini, pengurusan kewangan menjadi lebih terancang dan bertambah baik. Malah, masalah defisit kewangan dapat dielakkan.
Realitinya, kesan pandemik terhadap ekonomi negara, industri dan isi rumah akan mengambil masa panjang untuk pulih sepenuhnya.
Justeru, kita perlu bijak mengawal emosi serta merancang kewangan agar dapat diurus lebih berobjektif, berhemat dan sistematik. Mampukah kita melakukannya? Tepuk dada tanya selera.
Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor
Sumber : ISLAH panduan urus kewangan
0 Comments