Jutaan Rakyat Terjejas Akibat Masalah Air, Akhirnya Agong Sendiri Bersuara Dan Ini Titah Tegas Baginda

Terkini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus-lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku.

Baginda menyifatkan pencemaran Sungai Gong di Rawang sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan menyusahkan jutaan rakyat terjejas di Lembah Klang, sehubungan itu tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak terlibat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda bertitah, hukuman lebih berat wajar sebagai pengajaran kepada semua.

Ia bagi memastikan kelestarian alam terpelihara, di samping mengelak pencemaran sungai yang memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, kemudaratan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja kepada kehidupan seharian, tetapi juga sosioekonomi rakyat kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup.

” Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

” Baginda juga amat prihatin terhadap keluh-kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, pagi tadi.

Al-Sultan Abdullah bertitah bagi menzahirkan dukacita dengan kes pencemaran Sungai Gong yang menyebabkan 1.2 juta akaun dan kira-kira lima juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Baginda turut menitahkan tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kes pencemaran sungai seperti di Sungai Gong dapat dibendung, sekali gus tidak berulang pada masa depan.

Ahmad Fadil berkata, baginda juga meminta pihak berkuasa khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

” Seri Paduka turut bertitah supaya penjagaan alam sekitar diberi fokus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam urus tadbir pengurusan sungai dan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan Selangor yang mengarahkan pemilik premis yang dipercayai menjadi punca pencemaran air, merobohkan struktur bangunan itu.

” Baginda menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan berkaitan atas tindakan segera yang diambil untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan yang terjejas,” katanya.

Pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu.

Gangguan terbaharu bekalan air tidak berjadual itu bukan yang pertama diharungi rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur, malah berlaku sembilan kali pada 2018 serta berulang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments