Kes pertama demam babi Afrika ditemui di Jerman

BERLIN: Jerman hari ini mengesahkan mengesan kes pertama demam babi Afrika, sekali gus bakal memberi kesan besar kepada penjualan daging babi, yang juga antara pasaran utama di negara itu.

Penyelidik menemui demam babi pada bangkai babi hutan berhampiran sempadan Jerman-Poland di Brandenburg, kata Kementerian Pertanian Jerman.

"Dukacita dimaklumkan, jangkaan sebelum ini adalah benar," kata Menteri Pertanian Jerman, Julia Kloeckner, selepas bangkai haiwan itu diuji malam tadi.

Jerman adalah negara pengeluar daging babi terbesar di Eropah, dengan sekitar lima juta tan dihasilkan setiap tahun.

Demam babi Afrika adalah penyakit yang membawa maut terhadap babi hutan dan babi belaan serta mudah berjangkit, namun ia tidak berbahaya kepada manusia.

Beberapa negara, termasuk China, mensyaratkan sebarang import daging babi perlu datang dari negara yang bebas penyakit demam babi.

Permintaan terhadap daging babi dari Jerman menyaksikan peningkatan ketara dari China sejak kebelakangan ini, selepas penularan penyakit berkenaan di negara Asia itu menyebabkan jutaan babi dibunuh.

Eksport dari Brandenburg dihadkan ketika ini, kata Kloeckner, namun perdagangan daging babi dari kawasan tidak terjejas dengan Kesatuan Eropah (EU) tetap diteruskan.

Berita terbaharu itu menambah kebimbangan terhadap sektor daging babi Jerman, susulan kilang pengeluar daging babi terbesar di negara itu terpaksa ditutup buat sementara waktu pada Jun lalu, selepas lebih 1,000 pekerjanya disahkan positif COVID-19. - AFP



Sumber : Kes pertama demam babi Afrika ditemui di Jerman

Post a Comment

0 Comments