KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd memberikan pelanggannya lebih banyak faktor untuk melancong dengan menawarkan tambang tetap yang terkini bagi tempat duduk kelas ekonomi ke destinasi domestik berikutan permintaan terhadap perjalanan dalam negara mula menunjukkan aliran positif.
Pelanggan berpeluang menempah tambang sehala semua dalam satu bermula 8 hingga 13 September ini di laman web rasmi syarikat penerbangan itu, aplikasi mudah alih atau ejen yang dilantik untuk semua destinasi domestik bagi perjalanan segera sehingga 16 Disember 2020.
Tawaran bagi semua tempat duduk kelas ekonomi itu memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk membuat tempahan perjalanan berdasarkan keperluan dan keutamaan perjalanan mereka serta kemampuan untuk membeli.
"Pelanggan akan mempunyai akses kepada tiga pilihan tambang unik (Lite, Basic, Flex) yang menawarkan manfaat berlainan seperti elaun bagasi, pemilihan tempat duduk dan perkhidmatan keutamaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi destinasi ke Semenanjung dan dalam Sabah/Sarawak, tambang sehala semua dalam satu ialah RM179 (Lite), RM199 (Basic) dan RM259 (Flex), tambang ke Sabah ialah RM299 (Lite), RM319 (Basic) dan RM379 (Flex), manakala Sarawak RM239 (Lite), RM259 (Basic) dan RM319 (Flex).
Semua penumpang tanpa mengira kategori tambang akan terus berpeluang menikmati kelebihan dan perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap termasuk bagasi kabin sehingga tujuh kilogram, minuman serta makanan/snek percuma selain akses kepada sistem hiburan yang disediakan bagi pesawat Malaysia Airlines.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata menerusi tawaran tambang tetap itu, MAB berharap untuk merancakkan lagi perjalanan domestik membabitkan tawaran melebihi 300,000 tempat duduk.
Syarikat penerbangan itu sedia maklum mengenai minat yang menggalakkan bagi perjalanan domestik sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tempahan yang tertinggi dicatatkan semasa cuti hujung minggu yang panjang bersempena Hari Kebangsaan.
"Perkembangan positif itu menghasilkan peningkatan tempahan tiket penerbangan melebihi 500 peratus di peringkat domestik. Selain itu, cabang operasi kami, MHholidays turut menunjukkan aliran peningkatan dengan pakej percutian yang ditawarkan melebihi 300 peratus daripada sasaran kami," katanya.
Perkembangan yang menggalakkan itu melibatkan terutamanya lokasi yang menawarkan tarikan semulajadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi dan hutan seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Bahru.
Bagi memudahkan perjalanan penumpang, Malaysia Airlines akan meningkatkan kapasitinya mulai Oktober 2020 untuk beberapa destinasi utama termasuk Kota Kinabalu, Langkawi, Labuan Johor Bahru dan Kuching.
-BERNAMA
Sumber : Malaysia Airlines tawar tambang tetap kelas ekonomi
0 Comments