KUALA LUMPUR: Media Prima Omnia sedia menawarkan penyelesaian kepada syarikat, khususnya syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan COVID-19.
Pengurus Besar Media Prima Omnia, Crystal Lee, berkata sayap pengiklanan Media Prima Berhad (MPB) itu mewujudkan beberapa pakej pengiklanan berbeza khusus untuk pelbagai segmen pasaran bagi membantu syarikat yang terjejas selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, platform bersepadu merangkumi televisyen, akhbar, radio dan digital dimiliki MPB adalah cara terpantas untuk syarikat mengiklan dan memasarkan produk mereka kepada pengguna, dengan semua platform itu menembusi sehingga 98 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
"Sejak PKP, banyak syarikat yang terkesan dan kami mahu membantu mereka dengan menawarkan pakej media khas untuk mempromosikan produk atau menggunakan segmen beli-belah di rumah kami, Wow Shop yang memiliki dua juta pelanggan sejak Mei lalu.
"Syarikat dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) masih pelanggan teras kami, namun pada masa sama kami juga mahu menyokong syarikat pemula dan PKS.
"Kami akan berusaha mencari penyelesaian untuk membantu mereka menjana pendapatan, khususnya yang terkesan ketika COVID-19, dan menghubungkan mereka dengan sebanyak mungkin pelanggan menerusi platform televisyen, akhbar, radio dan digital yang kami miliki.
"Untuk PKS dan syarikat pemula, kami juga merangka beberapa pakej pengiklanan khusus untuk pelbagai pasaran berbeza," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Terdahulu, Media Prima Omnia yang diketuai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Chan, menerima kunjungan daripada Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) diketuai Presidennya, Shirley BK Tay.
Shirley yang ditemui selepas kunjungan itu mengakui tertarik dengan pakej media dan pengiklanan yang
ditawarkan Media Prima Omnia, apatah lagi ia dirangka khusus untuk lebih 500 ahlinya.
"Pakej yang ditawarkan amat luar biasa dan ia disesuaikan untuk keperluan ahli MRCA dan berpotensi menambah baik perniagaan mereka, khususnya dalam tempoh sukar ini," katanya.
Sumber : Media Prima Omnia tawar penyelesaian bantu syarikat PKS terjejas COVID-19
0 Comments