Pendengaran rayuan pembubaran DUN Sabah bersambung esok

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan ke tengah hari esok, pendengaran rayuan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim, menangguhkan pendengaran itu kerana pihak dalam kes itu mempunyai hujahan yang panjang untuk dibentangkan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Hakim Abdul Karim yang mengetuai panel itu bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan tengah hari esok untuk penyambungan rayuan itu kerana panel itu mempunyai kes lain untuk didengar pada sebelah pagi.

Mahkamah mendengar hujahan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili 33 ADUN; Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh mewakili Tun Juhar, peguam Datuk Cyrus Das mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Kerajaan Negeri Sabah.

Firoz selesai membentangkan hujahannya hari ini dan Cyrus, yang memulakan hujahannya hari ini, akan bersambung esok.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 September tarikh penamaan calon dan 26 Sept tarikh pengundian bagi pilihan raya umum Sabah ke-16. - BERNAMA

TAG: mahkamah tinggi, sabah, pilihan raya, 33 ADUN, semakan kehakiman, kebenaran, rayuan, penangguhan, mahkamah rayuan, penghujahan, tangguh



Sumber : Pendengaran rayuan pembubaran DUN Sabah bersambung esok

Post a Comment

0 Comments