Pengundi Sabah tuntut bantuan Covid-19 Warisan

ALICIA Joseph, yang tinggal di sebuah kampung di Sabah, dengan penuh harapan akan menerima bantuan RM300 semasa mengisi banyak borang yang dikeluarkan kerajaan Warisan Plus, ketika wabak Covid-19 sedang memuncak.

Kerajaan di bawah pimpinan Mohd Shafie Apdal ketika itu berjanji kakan memberi bayaran sekali bayar sebanyak RM300 untuk rakyat negeri itu yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Kami sudah isi borang dan masih menunggu. Sampai sekarang hanya beberapa orang saja di kampung saya yang terima duit bantuan. Tapi bantuan Prihatin semua orang dapat,” kata Alicia, peniaga di Kampung Mangkaladoi di Tamparuli.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, isu ini dijadikan senjata oleh seteru Warisan Plus terutamanya Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi hati pengundi.

Badan penyelidik Merdeka Center dalam tinjauannya baru-baru ini mendapati 93% daripada 3,415 pengundi memuji Putrajaya cara kerajaan PN menangani pandemik Covid-19.

PN mendakwa Warisan Plus tidak memberi bantuan secara menyeluruh untuk membantu rakyat yang terkeasan akibat Covid-19 di Sabah.

Warisan Plus pada April lalu berkata seramai 343,400 orang di negeri itu menerima bantuan Covid-19 membabitkan peruntukan RM65,241,900.

Antara penerima bantuan itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40, penjaja dan peniaga kecil, pesakit Covid-19, petugas barisan hadapan dan masyarakat, kata Shafie.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada April juga meluluskan RM553 juta peruntukan tambahan untuk melaksanakan Pakej Bantuan Covid-19 di negeri itu.

Seorang lagi pengundi Sabah, yang hanya mahu dikenali sebagai Zaitus, berkata selain isu bantuan RM300 yang dijanjikan, program bantuan khas bakul makanan turut dipersoalkan.

“Mereka cakap bakul makanan itu bernilai RM100, tetapi bila kami terima, nilainya tak sampai RM40 pun,” kat Zaitus yang tinggal di Kampung Guakon.

“Beras dan tepung yang mereka beri sedikit saja, tak sama kalau beli sendiri di kedai.”

Rata-rata penduduk yang ditemui The Malaysia Insight mengatakan hal yang sama – banyak bantuan Covid-19 yang Warisan janjikan sebelum ini masih belum tidak ditunaikan.

Mereka juga berkata kerajaan negeri tidak menetapkan syarat tertentu bagi penerima bantuan.

“Mereka tak cakap kita mesti miskin atau ibu tunggal. Mereka cakap semua orang boleh mohon.

“Semua keluarga di kampung sini dapat bantuan RM1,600 dari Bantuan Prihatin, jadi sepatutnya kami layaklah,” kata Alicia. – 16 September, 2020.

The post Pengundi Sabah tuntut bantuan Covid-19 Warisan first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments