KUALA LUMPUR: Media memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat serta melaporkan kejayaan yang dicapai oleh Polis Kuala Lumpur kepada masyarakat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata peranan media sebagai medium penyebar maklumat dihargai terutama menyebarkan usaha pihaknya membanteras jenayah dan menjaga keselamatan awam.
"Kita tidak mahu masyarakat menganggap yang pihak polis tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik hanya kerana kita tidak menyebarkan segala kejayaan yang dicapai.
"Justeru, pihak polis memerlukan hubungan yang baik dengan pihak media supaya masyarakat tahu dan didedahkan dengan segala usaha yang dilakukan oleh pihak polis dalam menangani sebarang kejadian jenayah," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Ketua Polis Kuala Lumpur Media Op COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Ini sebagai menghargai peranan media dalam memberi liputan kepada Polis Kuala Lumpur sepanjang beliau menerajui pasukan itu sejak 23 Oktober 2017 sebelum ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman berkuatkuasa 21 September ini.
Pada majlis itu, seramai 18 wartawan meja jenayah daripada pelbagai agensi akhbar dan media elektronik serta 14 agensi media tempatan menerima sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Mazlan.
Mazlan juga berkata, pihaknya juga memerlukan media untuk membantu dalam menyelesaikan kes-kes jenayah yang sedang dalam siasatan termasuk usaha mengesan suspek yang masih bebas.
"Hubungan dan silaturahim yang terjalin ini dapat membantu antara satu sama lain secara dua hala, iaitu keperluan pihak media mendapatkan maklumat berhubung sesuatu kes dan penyebaran maklumat untuk membantu polis.
"Kita bukan mahu kemasyhuran namun sekurang-kurang masyarakat tahu yang polis sentiasa berusaha menyelesaikan apa juga kes jenayah yang berlaku serta kejayaan kita menyelesaikan kes berkenaan," katanya.
Beliau berkata, hubungan baik antara media dan polis akan diteruskan dan diperkukuhkan kerana ia adalah faktor pelengkap dalam memastikan bandaraya ini terus berada dalam keadaan selamat dan harmoni.
Sumber : Polis KL hargai peranan media
0 Comments