Polis tahan 183 langgar PKPP di pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 183 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemeriksaan terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.

Ketika gerakan bermula jam 1 hingga 3 pagi itu, pelanggan pusat hiburan terbabit yang leka berhibur dengan iringan muzik kuat, tidak menyedari mereka diserbu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, berkata tangkapan membabitkan 75 wanita, berusia di antara 21 hingga 40 tahun.

"Polis juga tangkap 12 pekerja premis berkenaan termasuk enam warga asing dipercayai tidak mempunyai permit kerja sah.

"Selain itu, barangan seperti pembesar suara, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,000 disita bagi membantu siasatan.

"Semakan awal mendapati premis berkenaan juga beroperasi tanpa lesen sah," katanya ketika ditemui pemberita selepas serbuan itu, di sini, awal pagi tadi.

Semua suspek dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952.



Sumber : Polis tahan 183 langgar PKPP di pusat hiburan

Post a Comment

0 Comments