Mendorong anak muda terbabit dalam pertanian sangat penting kerana ia peluang keemasan mengurangkan pengangguran belia yang mencatatkan 58.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.
Ia bukan saja dapat menaik taraf kehidupan, bahkan pemangkin mengurangkan pergantungan negara pada tenaga kerja asing, memastikan bekalan makanan selamat dan meningkatkan eksport negara, sekali gus menyumbang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Sektor ini menyumbang sebahagian besar KDNK, iaitu 7.2 peratus dan satu-satunya industri berkembang pada suku kedua tahun ini.
Namun, belia seperti kurang bersemangat menceburi industri ini kerana dilihat kurang menguntungkan hingga menjadi jalan terakhir kepada mereka yang kurang berprestasi dan tidak dipandang tinggi masyarakat.
Walaupun kerajaan berusaha menjadikan sektor pertanian sebagai menarik, masih ada enggan memasuki sektor ini, sebaliknya berhijrah ke bandar mencari pekerjaan.
Namun, sebahagiannya mungkin mahu terbabit dalam pertanian, tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula atau mendapatkan bimbingan.
Keadaan ini rumit kerana mereka yang mengambil bahagian dalam pertanian ialah kumpulan kemahiran dan latar belakang sosial berbeza, tanpa mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian yang akhirnya menghalang mereka bekerja di industri ini.
Akibatnya, potensi dan prospek pertumbuhan pertanian dilihat sebagai tanggungjawab penduduk luar bandar semakin tua yang mustahil menguasai sektor ini dalam jangka lama dan menghasilkan produktiviti lumayan.
Ia boleh jadi sebab baki terbaru kekosongan pekerjaan di sektor pertanian iaitu 5.9 peratus, tertinggi antara sektor lain.
Kadar pekerja mahir yang bekerja di sektor pertanian, perhutanan, ternakan dan perikanan hanya pada 6.2 peratus pada suku kedua tahun ini, terendah berbanding kumpulan seperti pekerja perkhidmatan dan penjualan (23.7 peratus); pekerjaan dasar (12.3 peratus) dan profesional (12.9 peratus).
Sementara itu, dengan berlakunya COVID-19, kita mendapat pengajaran negara perlu memiliki hasil tempatan mencukupi kerana larangan eksport produk makanan di beberapa negara, menyebabkan pergolakan besar dalam pasaran global dan rantaian bekalan.
Seperti dinyatakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara ini menghasilkan lebih daripada cukup tembikai, betik, tomato, terung, tebu dan bayam dengan merekodkan kadar sara diri (SSR) lebih 100 peratus.
Namun, beberapa tanaman tidak mempunyai bekalan mencukupi untuk keperluan domestik seperti halia sebanyak 16.2 peratus; cili (30.8); mangga (32.1) dan kubis bulat (36.2).
Hasilnya, tanaman ini mencatat kadar kebergantungan import (IDR) tertinggi dengan halia menyumbang 84.3 peratus; cili (73.6); mangga (73.5) dan kubis bulat (65.4).
Dari segi ternakan, bekalan daging kambing dan lembu tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan berbanding lain dengan kadar SSR masing-masing ialah 12.1 dan 23.7 peratus. Oleh itu, kedua-dua ternakan ini mencatatkan kadar IDR tertinggi, iaitu 87.9 dan 76.6 peratus secara individu.
Dengan melihat persepsi anak muda terhadap pertanian dan bekalan makanan tidak mencukupi untuk keperluan domestik, kerajaan harus merangka langkah dan dasar strategik baharu.
Contohnya, kerajaan harus mendorong generasi muda terbabit dalam sektor ini dengan meningkatkan imej pertanian atau menjadikannya lebih 'seksi' dan lebih menguntungkan.
Ia dapat dilakukan melalui pemodenan supaya pertanian tidak lagi dipandang pekerjaan ketinggalan zaman, tidak menguntungkan atau kotor.
Kerajaan boleh menawarkan geran bagi membantu belia membeli tanah untuk pertanian, bukan hanya menyewa tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang memerlukan pembaharuan lesen setiap tahun.
Seterusnya, kerajaan perlu menghapuskan segala halangan untuk memulakan perniagaan agro-perniagaan.
Contohnya, menghubungkan mereka dengan pengguna, pembekal produk pertanian dan media sangat penting untuk menyokong serta membantu mereka turut serta dalam industri ini.
Program latihan berkaitan teknologi pertanian pintar dan agro-perniagaan menguntungkan harus diutamakan.
Latihan ini harus lengkap dengan kemahiran pertanian baharu yang menggunakan teknologi moden seperti sistem kedudukan global (GPS), pengimbasan tanah, pengurusan data dan internet benda (IoT) untuk meningkatkan kuantiti serta kualiti produk pertanian.
Penulis adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research
Sumber : Sektor pertanian perlu lebih 'seksi' pikat anak muda
0 Comments