SUHAKAM gesa penguatkuasaan lebih berkesan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa penguatkuasaan undang-undang lebih berkesan dilaksanakan termasuk penalti lebih berat terhadap pelaku pencemaran sumber air.

SUHAKAM menjelaskan cadangan itu bagi mengelakkan kejadian seperti pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini yang menjejaskan bekalan air di 1,292 kawasan di Lembah Klang daripada berulang.

"SUHAKAM maklum kerajaan Selangor mengambil tindakan terhadap bengkel yang didakwa bertanggungjawab ke atas pencemaran itu, kami bimbang Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak dikuatkuasakan dengan baik bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

"Pencemaran air yang berulang menunjukkan jurang besar undang-undang ini masih belum ditangani," kata SUHAKAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Pencemaran di Sungai Gong daripada sebuah bengkel pada Khamis lalu mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Ia mengakibatkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Susulan itu, empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula semalam.

Suruhanjaya itu turut menggesa entiti perniagaan untuk bertanggungjawab dalam memastikan hak asasi manusia dalam mendapat bekalan air bersih dipelihara dan dilindungi. - BERNAMA



Sumber : SUHAKAM gesa penguatkuasaan lebih berkesan

Post a Comment

0 Comments