Suspek curi kereta di Mentakab berjaya dicekup

TEMERLOH – Suspek lelaki yang mencuri kereta di stesen minyak di Mentakab semalam, ditahan polis di Subang Jaya pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor, pada jam 1 petang.

“Sebaik menerima laporan daripada mangsa, polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan.

“Hasil siasatan itu, polis mengenalpasti identiti suspek dan meminta bantuan balai polis lain untuk membantu mengesannya.

“Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah akhirnya ditahan anggota polis IPD Subang Jaya, semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam, kereta milik mangsa yang juga seorang pelajar berusia 20 tahun, dilarikan suspek ketika mangsa sedang mengisi minyak.

Mangsa yang tidak mematikan enjin kenderaan ketika mengisi minyak turut mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek yang sedang melarikan kereta miliknya.

Kejadian curi kereta terbabit tular sejak semalam, selepas rakaman CCTV terbabit dikongsi netizen di laman sosial.

Mohd Yusri berkata, suspek dibawa ke IPD Temerloh untuk disiasat yang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan persekitaran mereka setiap kali berurusan di stesen minyak bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, pengguna diingatkan supaya mematikan enjin kenderaan apabila ingin mengisi minyak dan mengunci kereta bagi tujuan keselamatan.

The post Suspek curi kereta di Mentakab berjaya dicekup first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments