
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat produksi filem mengemukakan saman pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap Shopee Mobile (M) Sdn Bhd kerana mengedar dan menjual filem keluaran syarikatnya dalam platform e-dagang itu dengan harga serendah 80 sen.
Saman pelanggaran itu difailkan Pencil Pictures And Records Sdn Bhd (PPAR) iaitu penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 September lalu.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan itu, PPAR yang bertindak selaku plaintif, menamakan syarikat laman e-dagang itu sebagai defendan tunggal.
Syarikat itu mendakwa Shopee melanggar hak cipta miliknya dengan mengedar atau menjual filem 'Ada Apa Dengan Dosa' atau menyebabkan orang lain untuk mengedar atau menjual filem berkenaan tanpa kebenarannya.
Menurut plaintif, filem itu dijadualkan untuk ditayangkan di 74 pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei mulai 10 September lalu dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM40 juta.
Karya arahan Rahila Ali itu sepatutnya ditayangkan sekitar Mac atau April lalu tetapi ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum pihak penerbitan memutuskan untuk menayangkannya menerusi Astro First.
Plaintif berkata, selepas hampir sebulan filem itu disiarkan di saluran Astro First, pengarahnya dimaklumkan pada 2 Julai lalu berhubung pelanggaran hak cipta oleh defendan, sehubungan itu membuat laporan polis keesokannya.
Katanya, filem itu menghadapi risiko kurang sambutan dan kurang kutipan tiket di pawagam manakala pelanggaran itu yang menawarkan harga serendah 80 sen adalah penghinaan serta merendahkan martabat dan kredibiliti plaintif dan filem.
Berikutan itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk daripada defendan.
Sementara itu penerbit PPAR Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh hadir bersama peguamnya Aizul Rohan Anuar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) hari ini.
Aizul Rohan berkata, anak guamnya menyaman laman e-dagang itu melanggar hak eksklusif dan mengedarkan filem itu tanpa kebenaran.
Katanya, Mahkamah Tinggi menetapkan pada 5 Oktober ini bagi pengurusan kes.
Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat produksi iaitu Enuja Production Sdn Bhd yang turut diwakili oleh Aizul Rohan memfailkan saman sama hari ini kerana filem keluarannya, Town Mall diedarkan dan dijual pada harga serendah RM1.
Sumber : Syarikat produksi saman Shopee
0 Comments