‘Saya mohon maaf atas segala kesulitan yang timbul…’ – Menteri Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR – Cadangan penangguhan serta-merta pendaftaran fizikal pelajar baharu ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) semalam adalah berikutan kenaikan mendadak kes jangkitan COVID-19 akhir-akhir ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, peningkatan kes tersebut adalah di luar jangkaan dan keputusan dibuat setelah perbincangan antara kementeriannya bersama pihak IPT dan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan dijalankan.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar yang sudah tiba di kampus diarahkan untuk boleh terus kekal berada di sana sementara menunggu arahan seterusnya daripada pihak universiti.

“(Manakala) kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” tambah kenyataan itu lagi.

The post 'Saya mohon maaf atas segala kesulitan yang timbul…' - Menteri Pengajian Tinggi first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments