Gangguan bekalan air sekali lagi di Sealangor, Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Hampir lima juta penduduk Lembah Klang akan berdepan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sekali lagi apabila Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor, 12.45 tengah hari ini.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) insiden itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas mengesan pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, pencemaran bau itu dikesan pada tahap 8 TON, manakala LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun.

“Ia merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Ia susulan bekalan air akan ditutup pada jam 6 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, LUAS dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan LRA 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau seakan bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor, antara 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.

Menurut LUAS, bau telah dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang dan berdasarkan pemantauan agensi itu setakat pukul 6 pagi tadi mendapati rekod bacaan terakhir masih 0 TON.

Dalam pada itu, ketika ini Air Selangor dalam usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor.

“Ia dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari,” katanya.

“LUAS juga telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama,” katanya.

Katanya lagi, Air Selangor juga memberi jaminan untuk meminimakan impak gangguan bekalan air kepada para pengguna yang terjejas, apatah lagi ketika rakyat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan PKPB.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

The post Gangguan bekalan air sekali lagi di Sealangor, Lembah Klang first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments