Kartunis Artortoise meninggal dunia awal pagi tadi

Kartunis terkenal, Artortoise dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi selepas menderita kanser pangkal hidung tahap tiga dan Hepatitis B.

Artortoise atau nama sebenarnya Mohamad Ikhsan Kamarudin menghembuskan nafas terakhir pada 1.37 pagi.

Berita pemergiannya dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Artortoise sebentar tadi.

“Assalamualaikum WBT…

“Dukacita dimaklumkan bahawa saudara Mohamad Ikhsan bin Kamarudin (Artortoise) telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.37 pagi 1 Disember 2020.

“Sehubungan itu kami bagi pihak Artortoise ingin memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali beliau sekiranya Allahyarham ada terbuat salah silap atau ada karya-karya beliau yang menyinggung sesiapa sama ada secara sengaja dan tidak sengaja,” tulisnya.

Pihak Artortoise juga memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini.

“Kami juga memohon doa dari semua supaya dipermudahkan urusan perjalanan Allahyarham ke alam sana.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong Artortoise selama ini. InshaAllah Artortoise akan kembali semula suatu hari nanti,” tulisnya.

Artortoise terkenal dengan lakaran kartun yang menyentuh isu semasa, kemasyarakatan dan dunia hiburan.

Malah, potret figura terkenal tempatan seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah dilakarnya.

The post Kartunis Artortoise meninggal dunia awal pagi tadi first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments