KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu yang disyaki terbabit dalam dua kes samun termasuk rumah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, sudah ditahan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek termasuk suspek utama itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis.
“Ya, ada tangkapan, setakat semalam, 10 orang termasuk suspek utama kes ini,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita, hari ini.
Satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan hari ini.
Harian Metro, malam tadi, melaporkan, suspek yang menyamun dan menetak Dr Wan Hassan sudah ditahan polis selepas beberapa jam melakukan jenayah terbabit.
Mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Rompakan ketika bekalan elektrik terputus
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kejadian pembunuhan Dr Wan Hassan Wan Embong dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya dua lelaki.
Beliau berkata, perompak memecah masuk kediaman itu ketika kawasan perumahan berkenaan terputus bekalan elektrik, kira-kira jam 3 pagi tadi.
“Ketika kejadian mangsa bersama isterinya di dalam rumah dan berdasarkan maklumat awal, dua lelaki bersenjata tajam memecah masuk ke kediaman itu,” katanya.
The post Polis berjaya tahan 10 suspek kes samun, bunuh Dr Wan Hassan first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments