Penunggang basikal wanita maut dirempuh lori

PUTRAJAYA – “Saya nampak macam ada benda tergolek, ingatkan barang terjatuh daripada lori sebelum saya bunyikan hon berulang kali bagi memberhentikan lori berkenaan,” kata Mohd Shukri @ Budiman Hassan.

Mohd Shukri adalah saksi utama dalam insiden basikal dirempuh sebuah lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Katanya, dia baru pulang dari berjoging dan memandu kenderaannya menghala ke rumahnya di Presint 11.

Pada ketika itu, Mohd Shukri berkata kenderaannya berada di belakang lori berkenaan yang dipandu perlahan.

“Tiba-tiba lori berkenaan terbabas dan naik di atas penghadang jalan, dan saya nampak ada benda tergolek. Saya bunyikan hon berulang kali supaya lori berkenaan berhenti.

“Bila saya turun, rupanya objek yang saya ingat terjatuh itu adalah basikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, beliau kemudiannya pergi ke arah mangsa dan memeriksa nadi dan mendapati nadi wanita berkenaan amat lemah sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian dan selepas menjalankan pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan S Vijaya Rao, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya.

The post Penunggang basikal wanita maut dirempuh lori first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments