‘Saya tak salahkan pihak polis’ – Wanita dikompaun tak pakai mask akhirnya buka mulut

“SAYA tidak menyalahkan anggota polis berkenaan kerana percaya mereka hanya menjalankan tugas cuma sedih apabila ada yang salah faham dan menyangkal kenyataan (tidak memakai pelitup muka di tempat tidak sesak),” kata ibu dua anak, Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim.

Nur Izzati Aqilah, 29, memuat naik kisahnya dikompaun anggota polis kerana tidak memakai pelitup muka di Facebook (Fb), Rabu lalu.

Bagaimanapun, polis dalam satu kenyataan kelmarin menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung seorang wanita yang juga pengusaha kafe dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tidak sesak.

Berikutan kenyataan itu, Nur Izzati memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjawab tuduhan negatif yang dilemparkan warganet terhadapnya.

Rakaman video berdurasi enam minit 36 saat itu menunjukkan empat anggota polis turun dari kereta peronda sebelum menghampiri Nur Izzati dan berlalu pergi tidak lama kemudian.

Bercerita lanjut, Nur Izzati berkata, kejadian berlaku 11.30 pagi Rabu lalu di hadapan kafe miliknya di Segamat, Johor.

Nur Izzati mengakui tidak memakai pelitup muka ketika itu kerana baru keluar dari keretanya tetapi bukan berada di kawasan sesak seperti yang didakwa.

“Pada hari berkenaan, saya membawa bersama dua anak berumur dua dan lima tahun ke kafe kerana keluarga bekerja jadi tiada yang menjaga mereka di rumah.

“Perancangannya adalah untuk menyiapkan pesanan di kafe dan keluar semula untuk menghantar anak sulung ke sekolah.

“Saya sempat ke sebuah kedai untuk membeli pelitup muka anak dan selepas keluar dari kereta diparkir di hadapan kafe, saya terus ke bahagian penumpang untuk menguruskan mereka (anak) sebelum datang empat anggota polis terbabit yang turun dari sebuah kereta peronda.

“Mereka kemudiannya menegur saya mengenai pemakaian pelitup muka sebelum mengeluarkan kompaun atas kesalahan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Izzati, anggota polis terbabit tidak meninggikan suara atau berkasar dengannya cuma dia jadi tergamam kerana terkejut apabila dikompaun ketika berada di kawasan tidak sesak.

“Saya hanya mampu menangis dan terus menghubungi suami.

“Pagi kelmarin, saya ke Balai Polis Segamat untuk memberi keterangan dan mendapat layanan baik daripada pegawai penyiasat,” katanya.

Nur Izzati berkata, selepas kisahnya tular di laman sosial, ramai peguam menghubunginya untuk menawarkan bantuan khidmat guaman.

Namun, Nur Izzati tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang kerana enggan mengeruhkan keadaan.

“Saya amat bersyukur apabila pemilik premis bersebelahan berkongsi rakaman CCTV itu.

“Selepas berkongsi rakaman CCTV di Twitter dan Fb, tiada lagi komen negatif diterima daripada warganet sebaliknya ramai memberi kata semangat.

“Buat masa ini, saya belum menjelaskan kompaun itu kerana akan ke Pejabat Kesihatan Daerah esok untuk membuka fail sebelum membawanya ke Mahkamah Majistret bagi mengemukakan rayuan.

“Apa yang berlaku memberi pengajaran dan peringatan buat saya supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai melitup muka apabila berada di luar.

“Cuma diharap garis panduan SOP berhubung pemakaian pelitup muka diseragamkan dan diperjelaskan lagi supaya tiada kekeliruan,” katanya.

The post ‘Saya tak salahkan pihak polis’ – Wanita dikompaun tak pakai mask akhirnya buka mulut first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments