‘Semoga syurga buatmu Mudin..’ – Remaja lemas selepas selamatkan dua rakan

KOTA BHARU – Seorang remaja lemas ketika menyelamatkan dua mangsa dalam sungai di Kampung Perupok, Tikat, di sini, petang tadi.

Wan Mohd Azamudin Wan Aznan, 16, ditemui lemas dalam sungai berkenaan jam 6.38 petang selepas menyelamatkan dua mangsa terbabit yang terjun ke sungai mengambil bola yang ditendang masuk ke situ.

“Mudin (mangsa) tak menjerit minta tolong tapi kami nampak tangannya melambai-lambai sebelum perlahan-lahan tenggelam dalam sungai,” kata saksi kejadian itu, Mohd Amirul Adam Mohd Zaid, 12.

Mohd Amirul Adam berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama tiga rakannya sedang bermain bola di padang tidak jauh dari sungai itu sebelum bola disepak olehnya memasuki sungai terbabit.

Dia berkata, seorang rakannya, Adam masuk ke dalam sungai untuk mengambil bola namun lemas dan meminta tolong sebelum seorang lagi rakan iaitu Arif cuba menyelamatkannya.

“Arif juga lemas seperti Adam dan apabila melihat keduanya dalam keadaan tercungap-cungap di dalam air, Mudin (mangsa) yang berada tidak jauh dari lokasi segera terjun ke dalam sungai.

“Mudin berjaya menyelamatkan dua rakan saya dengan memikul keduanya di belakang namun sebaik hampir ke tebing, dia (mangsa) kelihatan tidak berdaya sebelum lemas.

“Dua rakan itu diselamatkan penduduk kampung namun Mudin yang masih dalam sungai kelihatan tangannya melambai-lambai dan semakin lama semakin tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jenazah mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai dan ahli keluarga serta rakan tidak dapat menahan tangisan sebaik mangsa dibawa ke darat.

Situasi menjadi semakin sebak apabila bapa mangsa, Wan Aznan Wan Ibrahim, 52, membacakan doa sebaik anak sulungnya itu ditemui manakala sahabat karibnya, Wan Mohd Shahiran Wan Mohd Shahriman, 15, beberapa kali dilihat menangis di hujung kaki mangsa yang sudah dibawa ke dalam trak polis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.23 petang.

Beliau berkata seramai 19 anggota termasuk lima PPDA daripada BBP Kota Bharu terbabit dalam operasi.

“Mangsa ditemui pada jam 6.38 petang di dasar sungai yang agak berselut pada kedalaman kira-kira 3.3 meter dan jenazah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat,” katanya.

The post ‘Semoga syurga buatmu Mudin..’ – Remaja lemas selepas selamatkan dua rakan first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments