29 tahun berlalu, masih ada yang meragui punca kematian Sudirman

KIRA-KIRA 29 tahun yang lalu iaitu pada pukul 4 pagi, penyanyi terkenal negara, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia di rumah kakaknya di Nombor 16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar setelah lebih tujuh bulan terlantar sakit.

Disebabkan beliau disahkan mengalami radang paru-paru atau pneumonia (salah satu penyakit yang sering dialami pesakit AIDS), sampai hari ini masih ada yang mengatakan arwah meninggal disebabkan penyakit itu, Allah..

Hakikatnya arwah tidak pernah dijangkiti AIDS. Untuk pengetahuan korang, di hari-hari terakhir Sudirman, beliau lumpuh separuh badan, mulutnya senget dan tidak mampu lagi bercakap.

Kakaknya, Datin Rudiah Arshad akan menyuapkan makanan melalui tiub dan membersihkan kekotoran di tubuhnya kerana Sudir sudah tidak lagi mampu berbuat apa-apa.

Paling menyedihkan, seringkali menjelang Maghrib atau tengah malam, Sudirman akan menjerit secara tiba-tiba hingga membuatkan keluarganya turut berusaha mendapatkan rawatan perubatan Islam daripada Ustaz Datuk Dr. Haron Din.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan ketika itu pernah mengeluarkan statement di akhbar yang menafikan AIDS adalah punca kematian arwah, tetapi nampaknya penyakit itulah yang diulang-ulang oleh segelintir orang, malah hingga sekarang pun masih ada yang mempercayainya. Pelik betul manusia ni.

Ada satu sisi yang ramai orang tak tahu pasal Sudirman. Di sebalik limpahan cahaya pentas dan kemahsyurannya, arwah seorang yang sangat pentingkan solat seperti mana yang didedahkan bekas pengurusnya, Dharanee Dharan Kannan.

Dharanee dalam satu temubual dengan Awani dulu, pernah mendedahkan yang Sudirman akan tolak semua jemputan atau show pada bulan Ramadan walaupun dijanjikan bayaran yang cukup mahal.

Sebaliknya selepas buka puasa, Sudirman akan terus beribadah di masjid sehingga lewat tengah malam, adakalanya sampai pukul 1 pagi sebelum meminta pengurusnya itu menjemputnya pulang ke rumah.

Maaf kerana aku hanya berminat untuk mengangkat dua perkara tersebut sempena 29 tahun pemergian penyanyi kesayangan ramai hari ini.

Kalaupun aku nak tambah, enam tahun sebelum kematiannya, iaitu sekitar tahun 1986, Sudirman memaklumkan pada sahabatnya iaitu penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan yang dirinya mungkin akan meninggal dunia ‘dalam usia yang muda’. Dari situlah lahir lagunya yang cukup popular berjudul Salam Terakhir – hasil ciptaan Manan Ngah dan senikata ditulis oleh Habsah sendiri.

Ironinya ketika lagu itu dimuatkan dalam album Orang Kampung, lagu itu langsung tidak popular, hanya setelah Sudirman pergi, barulah populariti lagu itu melonjak dan evergreen sehingga sekarang.

Semoga rohmu dicucuri rahmat… Innalilahiwainnalilahirojiun.

SUDIRMAN HAJI ARSHAD (25 Mei 1954 – 22 Februari 1992)

The post 29 tahun berlalu, masih ada yang meragui punca kematian Sudirman first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments