Lans Koperal pulang bertugas maut dilanggar pemandu mabuk

KLUANG – Anggota polis yang baru tamat bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar pemandu mabuk di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Hing malam tadi.

Mangsa, Bradford Bernad yang berpangkat Lans Koperal bertugas di Cawangan Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang terlibat dalam kemalangan terbabit pada pukul 10.25 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa yang sudah berkahwin dipercayai dilanggar sebuah kereta sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Katanya, suspek berusia 58 tahun kini ditahan polis dan hasil saringan ujian pernafasan EBA II didapati positif alkohol melebihi had yang dibenarkan.

“Pada pukul 10.25 malam tadi, polis menerima maklumat awal bahawa kemalangan membabitkan sebuah kereta dari arah Kluang dengan sebuah motosikal dari arah Simpang Renggam.

“Dalam kemalangan itu, pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa sekaligus menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dalam perjalanan ke IPD Kluang selepas selesai tugas kawalan keselamatan di kawasan PKPD Penjara Simpang Renggam,” katanya di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh menyebabkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 hingga RM100,000 dan penjara dari 10 tahun hingga 15 tahun selain hilang kelayakan lesen memandu melebihi 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mewakili warga Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. -UTUSAN ONLINE

The post Lans Koperal pulang bertugas maut dilanggar pemandu mabuk first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments