Penghasut antivaksin boleh ditangkap – Polis

PETALING JAYA – Polis memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada golongan antivaksin yang terus menghasut orang awam supaya menolak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, golongan penghasut yang cenderung mengajak orang lain supaya memboikot pengambilan vaksin boleh disabitkan dengan dua kesalahan jika terdapat laporan.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan atau kegusaran awam yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Golongan ini juga boleh dikenakan tindakan mengikut Skesyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan,” katanya.

Acryl berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan golongan antivaksinyang meninggalkan komen-komen menghasut orang awam supaya tidak mengambil imunisasi Covid-19.

Antara sebab yang diberikan ialah mereka tidak mengetahui kandungan sebenar vaksin selain menyifatkan ia propaganda dajal dan Freemason.

Sementara itu, tinjauan di laman-laman sosial mendapati golongan tersebut masih aktif memberi komen-komen negatif berbaur hasutan selain mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid-19.

Kemunculan mereka begitu ketara sebaik ketibaan kumpulan pertama 312.390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium di negara ini pada Ahad lalu.

Antara tohmahan yang dilemparkan termasuk menyifatkan vaksin sebagai agenda ‘Freemasonray’ atau satu bentuk kebebasan yang menguasai kerajaan Malaysia.

“Sudah terang-terang dekat pesawat itu tulis One World, tak boleh fikir lagi ke maksud One World itu, memang sudah jelas pemerintah Malaysia dikuasai Freemasonray,” tulisnya.

The post Penghasut antivaksin boleh ditangkap – Polis first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments