Polis siasat wanita herdik anggota di SJR

KOTA KINABALU – Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dua rakaman video yang memaparkan seorang wanita berang dan mengherdik anggota polis di sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Kota Kinabalu yang tular di media sosial sejak Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, timbalan pendakwa raya juga menasihatkan polis supaya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh membabitkan kedua-dua belah pihak sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sekiranya terbukti benar ada anggota polis yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan wanita terbabit kita akan ambil tindakan.

“Begitu juga tindakan akan diambil sekiranya terbukti wanita itu yang menjadi punca ketegangan yang berlaku di SJR berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung dakwaan bahawa polis tidak sepatutnya mengeluarkan saman berkaitan cukai jalan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Hazani berkata, cukai jalan kenderaan wanita itu sudah tamat sejak awal tahun ini.

“Perkara itu tidak dapat diterima kerana penguatkuasaan PKP pernah dihentikan dua kali sebelum ini.

“Alasan itu tidak boleh diterima. Walaupun cukai jalan tidak boleh diperbaharui, mengapa insurans kenderaan tidak diperbaharui,” katanya.

Kejadian di SJR itu tular selepas seorang wanita turut mengeluarkan kenyataan di Facebook miliknya menceritakan kejadian itu.

Dalam kejadian dipercayai berlaku pada 1 Jun lalu, wanita itu mendakwa bahawa dia disindir ketika dikenakan tindakan saman oleh anggota polis yang bertugas di lokasi tersebut kerana cukai jalan dan insurans kenderaannya sudah tamat tempoh.

Wanita itu mendakwa dia terpaksa menunggu hampir setengah jam untuk mengetahui kesalahannya sebelum dikenakan tindakan saman.

Tindakannya dalam dua video masing-masing berdurasi satu minit 28 saat dan satu minit 37 saat itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet termasuk kecaman terhadap wanita yang dikatakan mengeluarkan kata-kata biadab ketika disaman.

The post Polis siasat wanita herdik anggota di SJR first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments