Bakat Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, yang mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan rakyat Malaysia baru-baru ini memang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Kepetahan dan kecerdasannya amat dikagumi sehingga menjadi bualan dan dijemput oleh Perdana Menteri dan mendapat perhatian Sultan Kedah.
Namun, tindakan segelintir pihak media yang melabelkannya sebagai ‘wartawan cilik’ mendapat reaksi yang agak ‘kurang menyenangkan’ dari seorang tokoh akademik negara.
Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berpendapat, gelaran tersebut amatlah tidak tepat.
Ikuti teguran dan huraian yang dibuat oleh beliau melalui akaun Facebooknya berikut:
Penggunaan ungkapan ‘wartawan cilik’ bagi tajuk berita dan cerita seperti ini (dan telah berkali-kali digunakan) amat tidak tepat lalu memesongkan, merendahkan dan memperlekehkan profesion kewartawanan itu sendiri.
Walaupun penggunaan seperti ini mungkin bersahaja, dalam memaparkan satu slanga, atau memaparkan kecilikan seorang kanak-kanak, ia tidak sepatutnya dipandang ringan.
Yang dilakukan oleh budak tersebut ialah melaporkan sesuatu kejadian dengan meniru apa yang dilihatnya.
Apa yang dilihatnya dari tugasan melaporkan berita di televisyen bukanlah dapat dipaparkan menggunakan istilah ‘kewartawanan.’
Apa yang dilihat dan dilakukanya ialah proses melaporkan berita atau pemberitaan dan petugas itu memenuhi fungsi sebagai pemberita.
Pemberitaan adalah satu fungsi dalam profesion kewartawanan. Tugas dan fungsi editor dalam menulis lidah pengarang, komentar, pendapat, esei, penulisan rencana, pengurusan berita, penulisan kolum – semuanya adalah fungsi profesion kewartawanan.
Pemberita, penerbit, editor berita, editor halaman lidah pengarang, ketua editor, editor sukan, editor ekonomi, editor jenayah, editor sains – semua itu jawatan dalam organisasi media; semua itu merupakan ahli kepada profession kewartawanan, dan semua digelar wartawan.
Mereka yang melakarkan tajuk berita dalam hal ini harus/mesti/patut membezakan antara fungsi/jawatan/profesion. Golongan wartawan mesti meningkatkan kefahaman mereka mengenai bidang mereka sendiri.
Bukan semua boleh jadi wartawan. Editor dan wartawan (jika mereka sedar akan istilah itu) mesti menganggap kewartawanan sebagai satu profesion dan institusi. Ia ada nilai dan ideologinya sendiri.
Sumber: Ahmad Murad Merican
The post Gelaran ‘wartawan cilik’ memesong dan memperlekeh profesion kewartawanan – Prof Dr Ahmad Murad first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments