Lelaki meninggal dunia di masjid, ketika baca al-Quran selepas selesai solat Subuh

Sungai Petani: Lelaki berusia 54 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di ruang solat Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu, di sini, hari ini.

Terdahulu, saksi kejadian yang juga kakitangan masjid memaklumkan, mangsa sedang membaca al-Quran sebelum dilihat terbaring tidak sedarkan diri.

Kakitangan masjid terbabit kemudiannya memaklumkan kepada seorang guru yang juga abang iparnya mangsa sebelum pemeriksaan mendapati dia sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, abang ipar mangsa kemudian menghubungi ambulans dan pegawai kesihatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Anggota Balai Polis Tikam Batu yang menerima laporan jam 9.50 pagi bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati jenazah berada atas lantai ruang solat masjid terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, saksi memberitahu arwah sebelum itu dilihat duduk di belakang sambil membaca al-Quran selepas selesai solat Subuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagaimanapun saksi mendakwa arwah dilihat terbaring dan tidak sedarkan diri tidak lama kemudian sebelum dia memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga arwah.

“Hasil temubual dan siasatan lanjut, isteri arwah mendakwa suaminya mempunyai penyakit darah tinggi namun tidak menjalani rawatan di hospital dan hanya makan ubat yang dibeli di farmasi.

“Pemeriksaan pada tubuh badan mendapati tiada kesan luka atau lebam serta sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

The post Lelaki meninggal dunia di masjid, ketika baca al-Quran selepas selesai solat Subuh first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments