Pendapatan daripada langganan Astro terus merosot

KUALA LUMPUR: Peningkatan aktiviti ekonomi di Malaysia dan pasaran pekerjaan yang lebih kukuh masih tidak dapat menyerap penurunan pendapatan langganan Astro Malaysia Holdings Bhd pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Tan Je Jyne, berkata keputusan kewangan Astro tidak menepati jangkaan terutamanya disebabkan oleh kemerosotan berterusan langganan televisyen (TV) selain persekitaran perbelanjaan pengiklanan lebih rendah.

“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa pendapatan langganan TV susut perlahan sebanyak 1.2 peratus berbanding suku sebelumnya, penurunan paling rendah dalam tempoh tiga suku kewangan yang lalu.

“Menuju kepada separuh kedua 2022, Piala Dunia FIFA yang bermula pada 21 November depan akan membantu meningkatkan pendapatan perbelanjaan pengiklanan memandangkan pengiklan akan berbelanja lebih dan memanfaatkan acara sukar besar untuk mendapatkan capaian lebih meluas dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Astro meraih keuntungan bersih RM98.47 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2022, meningkat 13 peratus berbanding RM87.13 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatannya susut kepada RM921.12 juta daripada RM1.06 bilion bagi tempoh yang sama.

Astro dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pemulihan sentimen pengguna kekal tidak sekata ekoran tekanan inflasi daripada peristiwa geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

Oleh yang demikian, peningkatan keuntungan bersih telah didorong oleh langkah disiplin kos, katanya.

Astro kekal menjana tunai selain bertindak proaktif dalam pengurusan modal di samping mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak satu sen sesaham.

Sementara itu, Je Jyne berkata pendapatan Astro pada suku yang dikaji merosot 4.3 peratus berbanding suku sama tahun lalu disebabkan oleh penurunan dalam segmen TV (-2.7 peratus), radio (-23 peratus) dan beli belah di rumah (-12.8 peratus).

Beliau berkata, penurunan dalam TV adalah disebabkan oleh pendapatan langganan dan pengiklanan lebih lemah. Kemerosotan radio pula adalah disebabkan perbelanjaan pengiklanan lebih rendah memandangkan suku pertama lalu dirangsang oleh musim perayaan utama iaitu Ramadhan dan Hari Raya.

“Beli belah di rumah meneruskan penurunannya berikutan kembalinya beli belah secara fizikal. Sehubungan itu, keuntungan bersih teras merosot sebanyak 14.2 peratus,” katanya.

HLIB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Astro dengan harga sasaran RM1.28.

The post Pendapatan daripada langganan Astro terus merosot first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments