Pelakon veteran Hisham Ahmad Tajuddin meninggal dunia

PELAKON veteran, Hisham Ahmad Tajuddin, 76, yang dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA) sejak 29 September lalu, meninggal dunia pada jam 4.30 petang ini.

Berita sedih ini dikongsikan anaknya, Aqeela Mohd Hisham, 26, menerusi kiriman mesej ringkas di aplikasi WhasApp kepada Harian Metro.

“Assalamualaikum, dengan rasa rendah hati saya ingin memaklumkan abah saya, Hisham Ahmad Tajudin telah kembali menemui sang pencipta pada waktu Asar tadi, jam 4.30 petang. Sama sama sedekahkan Al- Fatihah untuk arwah..Innalillahiwainnailaihirojiun,” katanya.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan Hisham berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman pada paru-paru, selepas difahamkan arwah mengalami batuk teruk selama seminggu.

Hisham yang menerima rawatan di HSA sebelum ini ditidurkan dan bernafas sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.

Difahamkan, Allahyarham juga diberikan dos antibiotik yang lebih kuat oleh doktor untuk membunuh kuman-kuman yang menyerang dalam badannya pada 2 Oktober lalu.

Terdahulu, Hisham adalah pelakon yang aktif dalam arena drama dan filem tanah air sekitar 1980-an lalu. Namun, arwah yang juga pesara kerajaan kini banyak menghabiskan waktu berehat di rumah bersama keluarga kerana faktor usia serta penjagaan kesihatan kerana menghidap penyakit diabetes (kencing manis) serta darah tinggi.

Selama aktif sebagai pelakon berdekad lamanya, Hisham sudah membintangi banyak drama dan filem. Antara karya lakonannya ialah Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur dan Tok Ayah.

The post Pelakon veteran Hisham Ahmad Tajuddin meninggal dunia first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments