LANGKAWI – Penyampai radio Langkawi FM, Zai Hamzah Osman, 54, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, pagi ini.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai DJ PKZ meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, pada jam 8.45 pagi.
Isteri keduanya, Asmah Adnan, 40, berkata, Allahyarham dibawa ke HSM selepas mengadu sesak nafas pada 3 petang semalam.
“Arwah kemudian dimasukkan ke wad isolasi pada 7 malam, sebelum keadaannya agak kritikal dan dimasukkan ke ICU pada 5.45 pagi.
“Arwah disahkan meninggal dunia jam 8.45 pagi dan kami sekeluarga reda, malah bersyukur kerana sempat menyambut Aidilfitri bersamanya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Asmah berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam, Mukim Kedawang pada 6 petang.
Selain Asmah dan dua anak, Allahyarham turut meninggalkan isteri pertamanya, Nor Asmah Ahmad, 52, berserta empat anak.
The post Penyampai radio Zai Hamzah meninggal dunia first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments