SEBERANG PERAI – “Kali terakhir saya bertemu arwah adalah pada 2 Mac lalu ketika menghantarnya ke kem sebelum bertolak ke lokasi operasi,” kata isteri kepada anggota tentera, Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang dilaporkan hilang sebelum dijumpai meninggal dunia di Hutan Simpan Royal Belum, Perak.
Nurhayatul Husna Abdul Muttalib,30, berkata dia meminta izin kepada suaminya untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah bersama dua anak mereka untuk menyambut Aidilfitri kali ini.
“Memandangkan arwah tidak dapat bercuti tahun ini, dia membenarkan saya bersama anak-anak untuk pulang ke kampung.
“Kalau tidak silap saya, arwah dijangka menamatkan operasi awal bulan depan dan kali terakhir kami beraya bersama adalah pada Aidilfitri lepas,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu mertuanya di Pulau Mertajam, di sini hari ini.
Tambahnya, mereka sekeluarga tinggal di kuarters Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong di Pahang sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.
Katanya, hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.
“Sikap arwah sangat menyenangkan kami sekeluarga, dia seorang suami yang penyayang dan sabar melayani karenah anak-anak dan tidak ada kata yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga kerana selalunya setiap kali arwah menyertai operasi, dia akan balik dalam keadaan yang selamat.
“Walau bagaimanpun, kami reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia satu ujian Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican berkata, urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan oleh pihak tentera danakan dikebumi di Pulau Mertajam.
Jumaat lalu, media melaporkan mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada pukul 12.50 tengah malam. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kali ini hanya jasad arwah yang pulang’ first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments