Lukisan terakhir anak petanda pergi buat selama-lamanya

SIAPA sangka, lukisan biasa ditunjukkan seorang anak kecil kepada ibunya merupakan petanda sebelum kanak-kanak itu pergi buat selama-lamanya.

Itulah kisah sedih dikongsikan pengguna Facebook, Wunny Amir mengenai anaknya yang difahamkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan bersama keluarganya di Bangi, Selangor ketika hendak pergi menunaikan solat tarawih di masjid pada Khamis.

Menurut Wunny, dia tidak menyangka keceriaan anaknya, Aydan Hadiff yang berusia tujuh tahun untuk menunjukkan lukisan dibuat baru-baru ini adalah gambaran mengenai pemergian cahaya matanya itu.

Katanya, lukisan yang ditunjukkan memaparkan anaknya sedang tidur jauh daripada dia dan suaminya yang masih berjaga.

“‘Aydan lukis mama ayah dengan Aydan. Ni Aydan tengah tidur.’ ‘Comelnya, kenapa Aydan tidur, Mama dengan Ayah tak tidur?’ ‘Aydan tidur dulu… nanti mama dengan ayah tidurlah’.

“’Kenapa tidur jauh sangat, bukan Aydan tidur tengah ke?’ Aydan hanya ketawa kecil. ‘Kenapa takde kaki tangan ni?’ ‘Ish mama ni, ni yang macam baby pakai tulah mama, Aydan jadi baby balik, hehe’.

“Owh pakai bedung ye’ ‘Haaa’ . ALLAH.. rupanya bukan kain bedung tapi kain kapan,” tulis Wunny yang berkongsikan dialog bersama anaknya itu di hantaran Facebook.

Menurutnya, terdapat satu lagi lukisan yang lebih besar di mana anaknya berkopiah dan sangat mirip seperti kain kafan yang dipakai jenazah sebelum dikebumikan.

Dalam pada itu, rata-rata warganet turut merasai kesedihan pemergian anak kecil tersebut dan berkongsikan doa dan ucapan takziah di ruangan komen.

“Salam takziah untuk puan sekeluarga,” ujar Nurul Hasni Ishak.

“Salam takziah buat ibu bapanya. Bermainlah di taman-taman syurga,” tulis Fakhrul Najmi.

“Salam takziah buat mama dan ayah Aydan. Semoga mama dan ayah Aydan tabah menghadapi ujian. Taman syurga untukmu anak soleh Aydan Hadif,” kata Nadia Hanim Abdullah.

Dalam kemalangan tersebut, difahamkan Wunny mengalami kecederaan ringan manakala suaminya pula cedera patah kaki. — Majoriti

The post Lukisan terakhir anak petanda pergi buat selama-lamanya first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments