Pelakon era 90-an, Roslan Hussin meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah drama era 1990-an, Roslan Hussin, 54, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pada jam 4.45 petang tadi selepas mengadu sesak nafas ketika memandu kereta.

Allahyarham yang ditemani anak perempuannya, sempat memberhentikan kenderaan dan meminta bantuan orang awam untuk membawanya ke hospital.

Setibanya di HKL, Allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Adik Roslan, Mashor memberitahu, doktor cuba memberi bantuan pernafasan terhadap abangnya, namun tidak berjaya.

“Sebelum kejadian, arwah mengadu sesak nafas ketika sedang memandu bersama anak perempuannya.

“Selepas mendapat bantuan orang ramai, arwah terus dikejarkan ke wad kecemasan untuk diberi bantuan pernafasan,” katanya kepada BH Online.

Mashor berkata, jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikapankan di Surau Al Husna, Setapak, esok, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9 pagi.

Bulan lalu, BH melaporkan kesihatan Roslan semakin merosot malah pergerakannya terbatas gara-gara serangan angin ahmar, tahun lalu.

Dalam temuramah itu, Roslan memberitahu, beliau diserang angin ahmar pada 18 Mac tahun lalu hingga terlantar sebulan dan bergantung kepada tiub.

Selain itu, Roslan mengalami masalah kesihatan termasuk lemah jantung, semput, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

The post Pelakon era 90-an, Roslan Hussin meninggal dunia first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments