Haram Bayar Zakat Terus Kepada Asnaf - Mufti Perak

Parit Buntar: Islam diminta tidak membayar zakat secara terus kepada asnaf kerana perbuatan itu hukumnya haram, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan membayar zakat kepada pusat zakat dilantik kerajaan di setiap negeri.

"Mengikut hukum syarak, apabila ada satu badan yang telah dilantik kerajaan untuk mengumpul zakat fitrah dan harta, setiap orang wajib mengeluarkan zakat kepada badan itu

“Ini kerana badan itu sudah diperintah mencari dan mengumpulkan asnaf yang ada untuk disampaikan secara adil hasil zakat," katanya di sini, semalam.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (tengah) menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf sumbangan MAIPk dan Yayasan Muhibbah Tan Sri Fng Ah Seng di Parit Buntar, Turut hadir Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Fng Ah Seng (kiri).


Dr Harussani mengulas berhubung isu viral di Facebook yang 70 peratus orang ramai bersetuju membayar zakat terus kepada asnaf manakala 30 peratus lagi kepada badan pungutan zakat.

Menurut beliau, pembayaran seperti itu hukumnya tidak sah.

“Pendapat seperti ini salah kerana MAIPk memberi zakat secara adil kepada asnaf yang layak menerima. Pegawai kita masuk kampung untuk mengesan asnaf yang layak menerima zakat dan gaji mereka kita ambil daripada bahagian amil, bukan daripada asnaf," katanya.

Menurutnya, 24,936 asnaf menerima zakat daripada MAIPk setiap tahun.

Selain itu, Dr Harussani berkata MAIPk membina dan membaik pulih lebih 600 rumah asnaf di setiap daerah negeri ini membabitkan RM12.6 juta tahun lalu.

“Setiap rumah yang dibina mempunyai tiga bilik dengan kos RM48,000 dan RM40,000 bagi rumah dua bilik," katanya.

MAIPk memperuntukkan lebih RM20 juta bagi bantuan bulanan kepada fakir miskin yang tidak berupaya untuk menyara kehidupan mereka dan tahun ini, MAIPk menyasar kutipan zakat RM160 juta berbanding RM140 juta tahun lalu.

"Sehingga semalam, kita sudah mengutip RM70 juta zakat dan sudah mengagihkan lebih RM80 juta kepada asnaf di negeri ini," katanya.

Rujukan: HarianMetro/Bernama

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments