Seorang lelaki datang beraya di rumah, di kampung saya. Dia mengadu yang isterinya sudah berputus asa dengannya dan begitu juga dengan dirinya.
"Ustaz, isteri saya asyik marah dan mengamuk. Dia dah tak layan atau pedulikan saya. Saya memang ada buat salah tetapi dia dah berubah dan langsung tak mahu memaafkan saya.
"Dia kuat mengamuk dan membebel pada anak-anak. Saya pun dah tak nampak dia melayan kami dengan baik. Tetapi entahlah, kami dah tak bahagia. Saya nak bahagia, bagaimana ye ustaz? Saya rindu rasa bahagia," katanya.
"Betul abang nak tahu cara untuk bahagia?" soal saya.
"Ya ustaz," balasnya.
"Begitulah, pasti isteri abang pun rindukan rasa bahagia. Bahagia ini Allah yang berikan. Dia beri bahagian ke dalam hati, bersyukur. Syukur ialah bahagia, syukur dengan kurniaan Allah buat hati kita tenang.
"Orang yang benar bahagia dari hati, yang berterima kasih pada Allah. Cubalah memenangi hati dia semula. Beri masa bersama, ngorat semula, dating semula dan kejar dia sampai dapat.
"Dulu kita kejar dia masa dia anak dara, muda dan cantik kerana kita suka. Sekarang kita kejar, ngorat dia kerana Allah. Buktikan cinta kita kerana Allah, pastinya Allah akan bantu," kata saya padannya.
"Cuba saudara tulis kebaikan isteri," saya hulur sehelai kertas kepadanya.
"Entahlah ustaz, susahlah. Macam tiada saja," katanya.
"Baiklah, saya sebut kebaikan isteri saya pada saudara. Dia belajar tinggi sehingga umur 24 tahun. Dia lebih pandai dari saya dan boleh lebih maju dan hebat dari saya. Tetapi dia memilih untuk menjadi orang di belakang tabir hidup saya. Besar pengorbanannya.
"Suri rumah ini sangat besar pengorbanannya. Pernah tak abang fikir sebenarnya rezeki yang Allah kurniakan kepada kita ini adalah kerana ada orang di bawah tanggungan kita? Saya lihat ramai orang besar, rezekinya besar kerana Allah suka dia membantu keluarga dan pekerja yang ramai. Tetapi saat dia tiada tanggungan, semuanya berkurangan dan berubah. Inilah iman," belum habis saya bercakap, dia tiba-tiba bersuara.
"Ermm, betullah ustaz. Rezeki saya semakin bertambah. Bezanya sebelum kahwin dan selepas kahwin walaupun kerja yang sama. Rezeki makan minum yang melimpah ruah," katanya.
Wanita ini hebat tetapi mereka berada di belakang kita. Sayu dan dahsyat pengorbanan wanita, mereka setia kepada kita. Pandang lelaki lain pun tidak. Tak pernah lalu pun lelaki lain dalam hidup mereka.
Dua wanita dalam hidup saya hari ini yang sangat besar pengorbanan buat saya ibu pertamanya dan kedua isteri saya.
Wania membebel kerana mereka rindukan kita, terutamanya suri rumah. Mereka tiada kawan-kawan sangat melainkan anak-anak yang tidak dapat faham sepenuhnya perasaan mereka. Saya pernah diberi masa 5 minit untuk beri ceramah tentang perkara yang besar dan penting. Kerana semangat yang berkobar-kobar, hasilnya saya bercakap dengan laju dan tidak tersusun kerana saya nak cakap semua perkara.
Begitulah isteri kita, 12 jam mungkin mereka tunggu kita pulang dari kerja. Mereka ingin meluahkan sesuatu. Jadi mereka bercakap tanpa henti kerana beberapa jam sahaja masa yang tinggal untuk bersama kita. Tiba-tiba kita pula marah, sedihlah hati mereka. Sudah tiada siapa lagi kerana kesetiaan mereka.
Kita jumpa ramai orang dan masih ramai kawan-kawan. Mereka sudah tidak seperti kita. Mereka ubah semuanya. Hakikatnya, apa yang Allah takdirkan membuatkan kita adalah yang sebaiknya. Ramai orang sedar bila nikmat itu sudah tiada lagi.
Sebab itu, sekali sekala kita kena bawa mereka keluar di jalan Allah tanpa anak-anak. Bawa mereka ke majlis ilmu. Hidupkan ta'lim rumah (bacaan hadis Nabi SAW bersama keluarga contoh 9:30-10:00 malam) InshaAllah rumah kita akan bercaya. Hati mereka tenang, itulah masa kita bersama.
Waktu malam dan setiap selepas solat, kita doakan orang yang kita sayang. Setelah kita bersyukur dengan apa yang kita miliki hari ini. Kita mula berdoa untuk mereka dengan sayang sehingga air mata kita berlinangan kerana dosa kita tidak bersyukur dengan apa yang kita miliki.
Selesai mendengar nasihat saya, dia bersalam dan ucap terima kasih.
"Saya dapat apa yang ustaz nak sampaikan. Kena bersyukur," katanya.
Betul, bersyukur kepada Allah yang baik. Dia beri semuanya yang sebenarnya baik tanpa kita sedari itulah yang terbaik buat kita suami, baik isteri.
Nukilan diatas telah dikongsikan dari Ustaz Ebit Lew di laman Facebook beliau. Beliau adalah seorang pendakwah dan penceramah bebas yang banyak berkongsi perihal kehidupan lebih-lebih lagi dalam pengurusan rumahtangga.
Semoga perkongsian ini mendapat manfaat dan garis panduan buat semua pembaca.
Kredit: Pixelmedia
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments