Menangani isu pengangguran belia

Dalam mengendalikan krisis berkembar ekonomi dan kesihatan awam, peningkatan pengangguran antara isu membimbangkan.

Belia paling terjejas kerana mereka biasanya kumpulan terakhir diupah majikan dan kelompok pertama diberhentikan kerana kekurangan pengalaman bekerja serta jaringan sosial termasuk ketidakpadanan kemahiran.

Di negara ini, belia antara 15 hingga 24 tahun menyumbang seramai 2.8 juta tenaga buruh, iaitu 18 peratus tetapi sudah mewakili 58.2 peratus jumlah penganggur.

Sebelum COVID-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus datang daripada berpendidikan tinggi. Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus).

Ramai bakat muda dalam sektor tidak formal, pekerjaan sementara atau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran. Akhirnya, belia diberikan gaji rendah, keselamatan sosial terhad dan ditempatkan dalam persekitaran kerja tidak berapa baik.

Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), 77 peratus daripada 1.3 juta belia di dunia terbabit dalam kerja tidak formal.

Kadar pengangguran di negara ini, meningkat kepada lima peratus pada April, lebih tinggi berbanding 3.9 peratus (Mac). Bilangan penganggur meningkat 48.8 peratus dalam kadar tahunan kepada 778,800 orang.

Disebabkan krisis ini, belia kekal sebagai kumpulan paling tidak bernasib baik dengan kadar pengangguran semakin meningkat (12.9 peratus), lebih tinggi berbanding 11.3 peratus (Mac).

Sebaliknya, kadar pengangguran lebih rendah untuk kumpulan masyarakat lebih berusia, melebihi 25 tahun ke atas (2.4 hingga 3.4 peratus) dan 31 tahun ke atas (1.5 hingga 2.5 peratus).

Untuk perbandingan, belia global terjejas teruk selepas krisis kewangan global kerana pemulihan ekonomi perlahan. Ketika itu, kadar pengangguran meningkat daripada 11.7 peratus (2007) kepada 13.1 peratus (2009) kemudian kekal tinggi selepas krisis pada kadar 13.2 peratus (2013).

Disebabkan syarikat memerlukan masa pulih, terdapat siri pemberhentian pekerja, potongan gaji dan cuti tanpa gaji. Pasaran kerja suram menggambarkan lepasan sekolah dan graduan universiti tidak bernasib baik dalam pasaran buruh kerana kekangan pengambilan pekerja baharu.

Bukan sahaja terdedah kepada peluang terhad dan kerugian pendapatan disebabkan COVID-19, bahkan mereka dibebankan hutang seperti pinjaman pendidikan, kereta dan rumah.

Anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2016 memaparkan kadar upah sara hidup di Kuala Lumpur - taraf hidup minimum boleh diterima - untuk seorang individu dewasa ialah RM2,700 sebulan, mengambil kira sewa bilik, makan di luar dan pengangkutan awam yang kerap.

Kajian itu menunjukkan rakyat berpendapatan di bawah upah sara hidup itu ialah lepasan sekolah menengah berkemahiran rendah dan sederhana. Justeru, bagaimana mereka boleh dibantu menghadapi waktu sukar ini?

Kerajaan mengambil langkah tepat dalam menangani pengangguran dengan peruntukan RM9 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Antara langkah utamanya, ialah lanjutan Program Subsidi Upah, insentif pengambilan dan latihan pekerja, peruntukan peningkatan kemahiran dan latihan semula, penubuhan Unit Khas untuk Pekerjaan Negara serta menaik taraf portal perkhidmatan pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Walaupun usaha itu patut dipuji, terdapat beberapa dasar lain boleh menjanjikan modal insan berpotensi untuk masa hadapan.

Pertama, sistem pendidikan-ke-pekerjaan (E2E) diperlukan. Contohnya, pendidikan atau subjek relevan diajar di samping pemberian insentif pengambilan pekerja bagi mempersiapkan mereka.

Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memainkan peranan utama dan peningkatan dalam kadar pendaftarannya antara strategi menghasilkan golongan belia berkemahiran tinggi. Kajian menunjukkan akses latihan vokasional lebih tinggi berkait rapat dengan kadar pengangguran lebih rendah.

Badan Penyelaras TVET Negara harus menjadi pemacu utama melahirkan tenaga mahir tempatan.

Kursus dalam talian ditawar PERKESO dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga boleh membantu meningkatkan kemahiran dan menyusun semula bakat tempatan menjadi belia berkemahiran digital.

Kedua, jaring keselamatan sosial komprehensif untuk belia perlu diwujudkan melalui inisiatif kerajaan dalam pemberian insentif pengambilan pekerja, program perantis dan latihan seperti Skim Jaminan Belia Eropah pada 2014.

Diharapkan, hasilnya akan menjadi positif seperti di Eropah kerana skim belia terbabit berjaya membantu lebih 3.5 juta orang muda dalam mendapatkan tawaran kerja, latihan atau perantis.

Akhir sekali, bagi golongan berusia bawah 21 tahun, mereka tidak termasuk dalam Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang perlu dilanjutkan selepas Jun. Sementara mereka mencari pekerjaan, BPN boleh dihulurkan kepada golongan ini.

Cadangan ini sebahagian langkah lain yang boleh diambil kira dan dipantau dari semasa ke semasa dalam memastikan ia relevan dalam menangani masalah pengangguran belia.

Penulis adalah panganalisis Penyelidik di EMIR Research



Sumber : Menangani isu pengangguran belia

Post a Comment

0 Comments