PAN tidak setuju PRU diadakan, mahu mandat dikembalikan kepada PH

‘Snap Election’ tidak wajar diadakan kerana mandat rakyat telah dirompak di tengah jalan, demikian dinyatakan oleh Pengerusi PAN Negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad.

Jelas beliau lagi, mandat ini harus dikembalikan agar PH dapat tunaikan janji-janji manifesto dan meneruskan agenda reformasi institusi yang tergendala dek langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

Menurutnya, usaha yang dilakukan selama ini adalah untuk mengembalikan mandat rakyat dan mandat tersebut boleh dikembalikan melalui usul tidak percaya dalam sidang Parlimen atau membawa Akuan Bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen dengan jumlah yang mencukupi melebihi 112 atau lebih serta perkenan Yang Dipertuan Agong.

“Niat untuk membawa usul pada sidang Parlimen 8 Mei terbukti tidak kesampaian walaupun usul diterima oleh Speaker Dewan setelah kerajaan tebuk atap PN menghadkan sidang hanya kepada pembukaan titah YDPA.

” Amatlah diharapkan sidang Parlimen pada 13 Julai nanti akan menyaksikan satu lagi episod samada PH mampu membawa usul tidak percaya kepada kerajaan tebuk atap PN atau mungkinkah kita akan melihat helah dan muslihat yang sama oleh kerajaan PN yang umpama telur dihujung tanduk.

“Juga jelas kendengaran kini pimpinan Umno termasuk Timbalan Presiden mahupun Naib Presidennya semakin ketara menggesa supaya kerajaan PN mengadakan ‘snap election’ serta ini memperlihatkan bagaimana longgar dan rapuhnya umpama retak menanti belah sebuah kerajaan pintu belakang yang diterajui oleh PN, ” tegas beliau.

Tambah Dr Roslan lagi, bersama PN bukanlah suatu pilihan yang bijak, sebaliknya menodai dan mencalarkan segala amalan demokrasi yang telah sekian lama menjadi amalan dalam negara ini.

Katanya, menolak kerajaan PN adalah jalan terbaik yang sewajarnya disokong oleh seluruh rakyat dalam negara ini.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments