IMF umum pembiayaan kecemasan AS$356.5 juta kepada Myanmar

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam mengumumkan akan memberi pembiayaan kecemasan AS$356.5 juta kepada Myanmar yang bergelut dengan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

"Wabak itu menjejaskan ekonomi Myanmar yang menyaksikan sektor pelancongan dan kiriman wang merudum, selain gangguan rantaian bekalan," kata Timbalan Pengarah Urusan IMF, Mitsuhiro Furusawa, dalam satu kenyataan.

Dana berkenaan 'akan membantu menangani keperluan kewangan mendesak Myanmar berhubung kejutan wabak COVID-19 serta menjadi pemangkin sokongan daripada rakan pembangunan'.

Wang terbabit adalah daripada dua program yang dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran dana dengan pantas tanpa memerlukan rundingan panjang mengenai program reformasi oleh Myanmar.

Kira-kira AS$118.8 juta akan disalurkan daripada Kemudahan Kredit Pantas dan baki AS$237.7 juta lagi daripada Instrumen Pembiayaan Pantas.

Menurut IMF, pembiayaan itu akan membantu Kerajaan Myanmar meningkatkan perbelanjaan kesihatan, selain memperluas program pemindahan wang tunai dan pengagihan makanan kepada golongan paling memerlukan serta perniagaan dan petani. - AFP



Sumber : IMF umum pembiayaan kecemasan AS$356.5 juta kepada Myanmar

Post a Comment

0 Comments