Ringgit dijangka pulih selepas ketidakpastian global reda

RINGGIT dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Presiden AS yang baharu, Donald Trump reda. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Presiden AS yang baharu, Donald Trump reda, kata pakar ekonomi.

Jangkaan kenaikan beberapa kali dalam kadar faedah AS mengukuhkan mata wang negara itu yang mana secara langsung memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dalam tempoh terdekat, nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5.

Namun, pihaknya kekal optimis bahawa ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai ringgit akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017.

"Justeru, amat penting bagi pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa mapan, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan syarikat sama ada kecil mahupun yang besar.

"Dalam hal ini, mungkin kerajaan perlu menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di pihak swasta yang lemah," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai pergerakan ringgit bagi 2017.

Ringgit memulakan dagangan pada hari pertama 2017 dalam dagangan lemah berbanding dolar AS dengan terus mencecah paras rendahnya sejak 1998. Pada dagangan hari ini, ia ditutup pada paras 4.4900/4950 berbanding satu dolar AS.

Faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan ringgit pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata prestasi ringgit yang lemah dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017.

Bagaimanapun, beliau optimis ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding dolar AS selepas Trump memulakan tugas rasminya sebagai Presiden AS dan pasaran dapat menilai dasar yang dibentangkannya.

"Kami masih mengekalkan unjuran ringgit akan berada pada paras purata 4.20 berbanding dolar AS bagi 2017," katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya juga melihat langkah yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih cekap akan dapat membantu menstabilkan nilai ringgit.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments