Haramkan kanak-kanak tanduk bola - PFA

PFA meminta FA mengharamkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun menanduk bola kerana bimbang ia boleh menyebabkan kecederaan otak. - Foto hiasan

LONDON: Persatuan Pemain Profesional (PFA) meminta Persatuan Bola Sepak England (FA) mengharamkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun menanduk bola kerana bimbang ia boleh menyebabkan kecederaan otak.

Kajian terbaharu University of Stirling mendapati perbuatan menanduk bola boleh menyebabkan masalah memori selama 24 jam dan pakar mahu membuat kajian implikasinya terhadap otak yang sedang berkembang.

Sekurang-kurangnya 250 bekas pemain bola sepak dikesan menghidap masalah otak merosot sejak kebelakangan ini.

Ketua Eksekutif PFA, Gordon Taylor, berkata badan induk bola sepak sepatutnya mengambil contoh Amerika Syarikat, yang melarang kanak-kanak 12 tahun ke bawah menanduk bola.

"Saya rasa perkara itu sepatutnya difikirkan secara serius. Ia sepatutnya menjadi reaksi terhadap bukti yang wujud dalam pelbagai jenis sukan, terutamanya bola sepak.

"Sudah ada perubahan peraturan buat pemain remaja mengenai padang permainan mereka, mengenai jumlah perlawanan, mengenai sama ada perempuan boleh terbabit dengan lelaki dan sehingga usia berapa.

"Ia sejajar dengan itu. Kita tidak boleh mengetepikan generasi seterusnya tetapi kita mesti memikirkannya. Permainan ini perlu menjadi sesuatu yang melindungi setiap orang yang terbabit," kata Taylor kepada Daily Telegraph, hari ini. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments