KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan mempercepatkan penyaluran Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) berjumlah RM200 juta yang diumumkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada usahawan yang layak.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata bagi memastikan usahawan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat suntikan kewangan, PUNB akan memendekkan proses kelulusan permohonan hanya dalam tempoh tiga minggu.
Katanya, pemendekan proses kelulusan berbanding tempoh tiga bulan bagi pembiayaan lain yang ditawarkan PUNB akan mempercepatkan penyaluran dana kepada usahawan yang benar-benar layak mendapat manfaat BRF.
"Proses kelulusan BRF tidak boleh sama dengan kelulusan pembiayaan biasa kerana kita harus sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membantu dengan lebih cepat usahawan Bumiputera yang terkesan akibat COVID-19 dalam keadaan situasi perniagaan ketika ini.
"Kami juga ada peruntukan tahunan yang perlu mengikut peraturan biasa, namun bagi BRF, ia tidak boleh sama dan perlu disegerakan. Kami akan buka permohonan BRF dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PUNB dan Sambutan Ulang Tahun ke-29 PUNB di sini, hari ini.
Ia dihadiri bekas Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin.
Dana pembiayaan BRF berjumlah RM200 juta dijangka dapat dimanfaatkan sekurang-kurang 200 usahawan Bumiputera yang layak.
Jumlah kelulusan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta dengan fokus utama usahawan yang terbabit dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, penggerak perniagaan (pembangunan perisian, logistik, pergudangan dan perkhidmatan penghantaran).
Pembiayaan daripada insentif ini boleh digunakan untuk perbelanjaan operasi, automasi sistem, modal kerja dan peralatan serta perbelanjaan untuk melaksanakan amalan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Dalam pada itu, Noh berkata, PUNB bercadang memperkenalkan konsep sewa untuk miliki, bagi membolehkan usahawan Bumiputera memiliki premis atau bangunan sendiri, berbanding sekadar menyewa dengan pihak ketiga.
Justeru, katanya PUNB akan melihat perkara itu lebih mendalam bagi membantu usahawan menyewa premis sebelum memiliki sekali gus meningkatkan pemilikan hartanah usahawan Bumiputera.
"Kita harus tingkatkan keupayaan usahawan Bumiputera," katanya.
Beliau berkata, perbadanan itu juga akan memperbaiki JUMPER Start Up PUNB (JUMPER) dan JUMPER 2.0 bagi melahirkan lebih ramai graduan Bumiputera bergelar usahawan serta usahawan muda mengembangkan perniagaan.
"Untuk program ini kita akan bekerjasama dengan syarikat usahawan yang sudah berjaya bagi membentuk graduan dan usahawan muda Bumiputera berjaya pada masa depan.
"Kami akan tetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kemudian. Saya perlu melihat peruntukan yang dimiliki PUNB terlebih dulu sebelum menetapkan berapa ramai usahawan yang kita akan bimbing," katanya.
Dalam majlis sama, pengurusan tertinggi PUNB meraikan pelantikan Noh sebagai Pengerusi PUNB yang baharu berkuatkuasa semalam.
Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang menggantikan Hazimah yang telah menamatkan perkhidmatannya kelmarin.
Sumber : PUNB percepat salur Pembiayaan Mudah Bumiputera
0 Comments