Zolkples saran program RTT dipecah kepada 2 kumpulan atlet

KUALA LUMPUR: Program Road to Tokyo (RTT) perlu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu atlet yang sudah layak dan atlet yang masih belum layak.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, berkata langkah itu dilihat mampu memberi impak yang berkesan dalam usaha meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya terbesar dunia berkenaan.

"Program perlu berbeza (antara dua kumpulan berkenaan). Atlet belum layak, boleh teruskan program untuk mereka layak.

"Namun, yang sudah layak terutamanya atlet yang diletakkan sebagai prospek pingat, kita kena bagi tumpuan sepenuhnya kepada mereka. Kita perlu pastikan latihan, pendedahan dan khidmat sokongan yang secukupnya untuk mereka.

"Ini penting bagi memastikan atlet berada di kemuncak prestasi mereka apabila Sukan Olimpik bermula.

"Atlet pula perlu fokus sepenuhnya, jangan fikir benda remeh-temeh, sepatutnya tiada sebarang masalah sekarang," kata Zolkples kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyusun semula program RTT bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata penstrukturan semula program itu adalah tertumpu kepada penyusunan semula program latihan dan pertandingan yang terjejas susulan penundaan atau pembatalan kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Reezal turut memberitahu tiada sebarang peruntukan tambahan akan diberikan untuk program RTT sebaliknya peruntukan sedia ada akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Setakat ini, 12 atlet sudah berjaya layak ke Tokyo manakala 23 lagi sedang berusaha layak.

Awal tahun ini, KBS memperuntukkan sebanyak RM22.5 juta sebagai persiapan atlet ke temasya Sukan Olimpik Tokyo yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos tahun ini, sebelum ia ditunda ke tahun depan susulan pandemik COVID-19.

Tarikh baharu menyaksikan temasya itu akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.



Sumber : Zolkples saran program RTT dipecah kepada 2 kumpulan atlet

Post a Comment

0 Comments