Bekas akauntan didakwa pecah amanah

IPOH: Seorang bekas akauntan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dengan 143 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) membabitkan jumlah RM38,000, empat tahun lalu.

Nurul Husna Atiqah Shuib, 32, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Ibu kepada tiga anak itu dituduh melakukan perbuatan itu di Syarikat Petrogaz Engineering Sdn Bhd di Lumut, ketika beliau dipertanggungjawabkan bagi akaun syarikat berkenaan.

Dia didakwa menyalahgunakan RM38,000 itu untuk kegunaan peribadi antara November 2017 dan April 2018.

Jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim meminta mahkamah membenarkan ikat jamin RM30,000 untuk semua pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Dharmanathan memohon jaminan minimum diberikan kerana anak guamnya adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga.

"Suaminya tidak bekerja dan dia juga perlu menanggung tiga anak berusia lapan, enam dan dua tahun.

"Dia turut memberi kerjasama penuh semasa siasatan polis," katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin, manakala pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di Balai Polis Seri Manjung sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 10 September depan bagi sebutan kes.



Sumber : Bekas akauntan didakwa pecah amanah

Post a Comment

0 Comments