Jalan Gombak Lama ke Genting Highlands ditutup

KUALA LUMPUR: Laluan di Seksyen 38.4 Jalan Gombak Lama menghala Genting Highlands dilencongkan selepas berlaku kejadian tanah runtuh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, tanah yang runtuh menyebabkan kedua-dua arah di laluan berkenaan terhalang.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak memaklumkan, kerja-kerja pembersihan tanah sedang dijalankan dan kedua-dua jalan masih ditutup.

"Buat sementara, laluan dilencong dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

"Kerja pembersihan dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum laluan dibuka semula kepada pengguna jalan raya," katanya.

Difahamkan, kejadian tidak membabitkan sebarang struktur binaan dan runtuhan membabitkan tanah lereng berbukit di laluan berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada jam 7.15 pagi.

"Tanah yang runtuh adalah dari cerun bukit di laluan terbabit dengan ketinggian lebih lima meter.

"Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kes diserahkan kepada pihak JKR dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk tindakan lanjut," katanya.



Sumber : Jalan Gombak Lama ke Genting Highlands ditutup

Post a Comment

0 Comments