KUALA LUMPUR : Semua restoran, kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dibenar operasi sehingga jam 12 tengah malam mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tambahan masa operasi itu dibuat berikutan rayuan yang diterima kerajaan daripada pengusahanya.
"Mesyuarat hari ini bersetuju restoran dan semua gerai dan outlet menjual makanan dibenar untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam. Namun, harus ditegaskan supaya penjarakan sosial dan SOP perlu dipatuhi sepenuhnya.
"Kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam juga kita benarkan sehingga 12 tengah malam, sekarang ini sehingga jam 10 malam saja," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga membenarkan pembukaan semula operasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya seluruh negara selain kemudahan surau di pusat beli belah.
Katanya, pembukaan surau di pusat beli-belah dan R&R tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan jemaah dan pengunjung perlu mengamalkan disiplin diri penjarakan sosial.
"Bermula esok, rentas negeri mula dibenarkan dan pasti ramai yang mahu berhenti di R&R ketika pulang ke kampung dan sebagainya. Jadi, gerai-gerai di kawasan R&R juga dibenarkan untuk beroperasi mulai esok (hari ini)," katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) yang berakhir pada 9 Jun, akan disambung dengan PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 13 Ogos ini.
PKPP akan dilaksanakan berteraskan tujuh strategi, membabitkan pengukuhan kesihatan awam, perundangan dan penguatkuasaan serta pengukuhan kawalan sempadan.
Antara kelonggaran dan perkara yang dibenarkan sepanjang PKPP termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri, pelancongan domestik, sambutan Aidiladha dan korban, pembukaan sekolah secara berperingkat, serta aktiviti jualan di luar premis.
p>
Sumber : Kedai makan, serbaneka dibenar buka hingga 12 tengah malam
0 Comments