Liga Super: Pahang jinak Kedah di Kuantan

KUANTAN: Pahang menewaskan Kedah, 2-1 dalam saingan Liga Super di di Stadium Darul Makmur malam tadi, untuk sekali gus menghidupkan peluang merampas tempat kedua.

Namun buat skuad Helang Merah, kekalahan itu menyebabkan mereka tidak dapat menghalang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada merangkul kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut.

Kemenangan skuad Tok Gajah itu menyaksikan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Kedah yang menduduki tangga kedua ketika saingan semakin menuju ke penghujungnya.

Dalam saingan malam tadi, Pahang jelas bersemangat apabila melancarkan serangan awal dan hampir mendapat gol pendahuluan menerusi Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-4.

Namun bola tendangan pemain tengah itu sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.

Pada minit ke-10, penyerang Kedah, Sandaro Da Silva turut mempunyai peluang untuk membolosi gawang tuan rumah, namun kecemerlangan pertahanan menafikannya.

Pada minit ke-22, sekali lagi, Wan Zaharulnizam atau Kecik berpeluang untuk menjaringkan gol pertama tetapi penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar berjaya menepis keluar.

PEMAIN Pahang, Matheus Alves Leandro melakukan rembatan sambil diasak pemain Kedah, Khairul Helmi Johari dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Biarpun kedua-dua pasukan berusaha untuk menjaringkan gol pendahuluan, mereka akur tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, usaha keras tuan rumah dalam memburu jaringan akhirnya direalisasikan hasil sentuhan pemain import, Yamil Romero buat menewaskan Farhan pada minit ke-64.

Pada minit ke-77, penyerang muda Helang Merah, Shafiq Ahmad menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Selang tiga minit, penyerang utama skuad Tok Gajah, Matheus Alves kembali meletakkan Pahang di hadapan selepas menjaringkan gol kedua dan memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah sebaik wisel penamat dibunyikan.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments