FELDA Utd rampas tangga ketiga

SHAH ALAM: Pertukaran venue pada saat akhir langsung tidak merencatkan aksi FELDA United apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selepas akur tidak dapat beraksi di laman sendiri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, keputusan itu seakan melunaskan 'dendam' skuad The Fighter terhadap keputusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) membenarkan pertukaran venue di saat akhir.

Malah kemenangan pertama FELDA ke atas Harimau Selatan sejak Mac tahun lalu itu juga turut menyaksikan skuad B Sathianathan memintas kedudukan Kedah di tempat ketiga Liga Super dan berpeluang mengekalkan posisi itu ketika aksi musim ini masih berbaki satu perlawanan lagi

Terdahulu, JDT yang sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut seakan tidak kenal erti puas hati apabila memulakan babak pertama dengan aksi berkualiti dan hampir mendahului menerusi Mohd Afiq Fazail sebaliknya rembatannya seawal minit ke-4 menuju tepat ke penjaga gol FELDA, Mohd Farizal Harun.

Minit ke-27, kesilapan yang dilakukan Junior Eldstal yang menolak bola ke belakang pantas dirampas Thiago Augusto untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Bagaimanapun, minit ke-39, Junior pantas menebus kesilapannya dengan menyamakan kedudukan sebaliknya minit terakhir permainan, FELDA sekali lagi di depan, kali ini menerusi Ifedayo Omosuyi yang mudah menolak masuk lorongan Thiago dari sebelah kiri gawang pelawat.

Hanya dua minit aksi bersambung, Junior terus meletakkan JDT dalam keadaan sukar apabila di arah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran terhadap Wan Zack Haikal Wan Nor.

Minit ke-57, tanpa diduga Gabriel Cabrera kembali menyamakan kedudukan tetapi tujuh minit selepas itu, Thiago terus menghantui pertahanan JDT apabila meledak gol kemenangan FELDA.

Walaupun JDT memiliki beberapa peluang terbaik namun segala usaha dilancarkan gagal membuahkan hasil untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat FELDA.

KEPUTUSAN;

FELDA United 3

(Thiago Augusto, m-27, m-64, Ifedayo Omosuyi, m-46)

JDT 2

(Junior Eldstal, m-39, Gabriel Cabrera, m-57)



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments