Sagnol jurulatih sementara ganti Ancelotti

BERLIN: Bekas pemain Bayern Munich, Willy Sagnol dinamakan sebagai jurulatih sementara kelab gergasi Jerman itu susulan pemecatan mengejut ketua jurulatihnya, Carlo Ancelotti, hari ini.

Bayern dan Ancelotti berpisah sehari selepas kekalahan dalam kempen Liga Juara-Juara kepada kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dengan Sagnol sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu jurulatih.

"Susulan analisis dalaman di Munich pada Khamis 28 September 2017... kelab mengambil keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan ketua jurulatih Carlo Ancelotti serta merta," kata Bayern dalam kenyataan menerusi laman web mereka.

Tekanan memuncak terhadap Ancelotti apabila Bayern mengharungi permulaan tidak konsisten pada musim ini sebelum kekalahan 3-0 kepada PSG di ibu negara Perancis itu, semalam.

Selepas perlawanan, pengendali dari Itali itu disoal oleh media Jerman mengenai taktik dan pemilihan pemain selepas membuat keputusan meninggalkan Franck Ribery, Arjen Robben dan Mats Hummels di bangku simpanan.

"Prestasi pasukan kami di awal musim tidak memenuhi jangkaan yang kami letakkan kepada mereka," kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

"Perlawanan di Peris jelas menunjukkan akan ada kesan sampingan. Hasan Salihamidzic (Pengarah Sukan) dan saya mengadakan perbincangan yang serius dengan Carlo hari ini dan mengumumkan keputusan kami.

"Carlo ialah rakan saya dan ia akan kekal seperti itu tetapi kami perlu membuat keputusan yang profesional demi kebaikan Bayern.

"Saya kini menjangkakan pasukan akan memperoleh pembangunan yang positif dan prestasi yang terbaik supaya kami dapat mencapai sasaran kami musim ini."

Bayern ketika ini menghuni tangga ketiga Bundesliga selepas enam perlawanan, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Borussia Dortmund sebelum mengunjungi Hertha Berlin, Ahad ini.

Ini kali pertama kelab gergasi Jerman itu berada begitu jauh daripada kedudukan teratas Bundesliga sejak musim 2010/11 yang menyaksikan Dortmund menjuarai gelaran dan Bayern menamatkan saingan di tangga ketiga.

Ancelotti, 58 yang mengemudi Bayern gelaran kelima berturut-turut Bundesliga musim lalu selepas menggantikan Pep Guardiola di Allianz Arena.

Selain tewas kepada Real Madrid di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Bayern juga tewas di separuh akhir Piala Jerman kepada Dortmund.

Ancelotti sebelum ini pernah membimbing Parma, Juventus, AC Milan, Chelsea, PSG dan Real Madrid.

Antara calon berpotensi yang dijangka mengambil alih tugas berkenaan adalah Thomas Tuchel yang ketika ini tidak membimbing sebarang kelab selepas meninggalkan Dortmund, penghujung musim lalu. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments