SEREMBAN: Pemenang pingat emas acara tinju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Muhamad Fuad Mohd Redzuan mahu melebarkan rekod cemerlangnya dengan memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan.
Katanya, kejayaannya merangkul emas dalam kategori light fly (49 kilogram) itu menjadi pembakar semangatnya untuk terus memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
"Selepas berjaya mendapatkan pingat emas pada temasya KL2017 yang saya tunggu selama lapan tahun, kini fokus saya terarah pula pada kejohanan lebih tinggi iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.
"Saya harap dapat menyumbang pingat pada temasya itu nanti khususnya Sukan Komanwel Gold Coast," katanya ketika ditemui selepas majlis meraikan kejayaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd Ghazali Abdul Wahid, di Balai Raya Taman Cempaka Senawang, hari ini.
Muhamad Fuad yang menentang petinju Thailand, Thani Narinram mencipta sejarah berikutan kategori itu belum pernah dimenangi petinju negara sepanjang penganjuran Sukan SEA.
Dia yang kini berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memulakan latihan persiapan untuk Sukan Komanwel Gold Coast Oktober ini.
"Kejayaan memenangi emas pada KL2017 itu adalah satu permulaan yang baik buat saya untuk melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa selepas ini.
"Sokongan padu daripada keluarga, Majlis Sukan Negara (MSN) dan bimbingan ketua jurulatih negara, Azmi Md Yunos membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjulang nama negara," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments