PUTRAJAYA: Lebih banyak pekan sehari akan dibuka di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, bagi memudahkan penduduk membeli barang keperluan harian selain menjana pendapatan sampingan.
Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, meminta Perbadanan Putrajaya (PPj) bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk tujuan itu.
Beliau berkata, pekan sehari akan memudahkan penduduk setempat membeli barang keperluan harian selain menambah pendapatan sampingan peniaga.
"Rata-rata yang berniaga di pekan sehari itu adalah penduduk Putrajaya sendiri. Namun, sebelum mereka memulakan perniagaan di sini saya sudah memberi amaran supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati sehingga tidak masuk akal.
"Pekan sehari ini adalah alternatif kerajaan supaya penjaga dan peniaga kecil Putrajaya dapat menambah sumber pendapatan, malah kadar sewa tapak hanya kira-kira RM30 sehari.
"Diharapkan komuniti Putrajaya dapat memanfaatkan inisiatif ini kerana ia ternyata mampu menjimatkan perbelanjaan harian mereka," katanya berucap pada Majlis Perasmian Pekan Sehari@Presint 11, hari ini.
Setakat ini, beberapa pekan sehari sudah diwujudkan di Putrajaya, termasuk di Presint 8, 9, 11 dan 15.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat menganjurkan kelas bahasa Inggeris kepada pelajar sekolah supaya mereka dapat meningkatkan penguasaan bahasa itu.
"Ia juga persediaan kepada golongan terbabit sebelum menempuhi alam pekerjaan. Kebanyakan graduan tidak mendapat kerja kerana kurang menguasai bahasa Inggeris serta tidak yakin bertutur dalam bahasa itu.
"Kementerian juga berhasrat menganjurkan kelas bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga. Ia secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada pelajar ketika memohon pekerjaan kelak," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments