Kami tak takut ke Pyongyang - Shahrom Kalam

KUALA LUMPUR: Pertahanan Harimau Malaya, Shahrom Kalam percaya semua pemain sedia berdepan tekanan di dalam dan luar padang apabila berkunjung ke Pyongyang bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara, Khamis depan.

Meskipun perlawanan Kumpulan B ini ditunda sejak Mac lalu dan sudah mendapat jaminan keselamatan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan pihak kerajaan Korea Utara, namun situasi tegang di republik itu dengan negara luar masih tercetus berhubung isu ujian nuklear dan ujian bom hidrogen.

Bagaimanapun Shahrom, 32, yakin semua pemain memandang isu itu dengan positif kerana kemenangan dalam perlawanan ketiga itu lebih penting untuk menghidupkan peluang memburu tiket ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya percaya semua pemain sedar dengan situasi yang berlaku di sana (Pyongyang) tapi kami tidak perlu fikir sangat mengenai perkara itu. Jika sudah mendapat lampu hijau untuk pergi ke sana, kita akan pergi.

"Kita hanya perlu fokus untuk mendapatkan keputusan positif bagi memperbaiki kedudukan sekarang. Saya yakin bukan mustahil untuk kita membawa pulang mata dari sana," katanya.

Selepas tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 menentang Hong Kong, skuad negara kendalian Nelo Vingada dalam kedudukan terdesak untuk mencari kemenangan apabila kini menduduki tangga tercorot Kumpulan B.

Tugas sukar menanti Shahrom serta seorang lagi pertahanan berpengalaman Khairul Helmi Johari selepas Aidil Zafuan Abd Radzak digantung empat perlawanan atas kesalahan mengasari pengadil ketika berdepan Hong Kong serta Rizal Ghazali yang turut menerima kad merah dalam perlawanan itu.

"Saya percaya jurulatih Nelo Vingada mempunyai perancangan tersendiri dengan pemilihan kali ini.

"Memang kita ketiadaan Aidil dan juga Rizal, tapi kita ada pemain muda seperti Adam (Nor Azlin) dan Matthew (Davies) yang juga berpengalaman," kata pemain pertahanan Perak itu.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments